Umum

Imigresen Gempur Bukit Bintang, 770 Pati Dicekup

KUALA LUMPUR — Seramai 770 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi besar-besaran Op Belanja oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sekitar Bukit Bintang malam tadi.

Operasi yang bermula jam 7.30 malam itu melibatkan 106 pegawai dan anggota JIM Putrajaya, selepas pihak berkuasa menerima beberapa aduan mengenai aktiviti mencurigakan di kawasan terbabit.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JIM, Basri Othman, berkata seramai 2,445 individu diperiksa, termasuk warga tempatan.

“Daripada jumlah itu, 770 Pati ditahan melibatkan 762 lelaki dan lapan wanita. Mereka terdiri daripada warga Bangladesh (37), Myanmar (235), Nepal (72), India (58), Indonesia (19), serta sembilan warga asing lain,” katanya pada sidang media.

Selain menahan warga asing tanpa dokumen sah, pihak berkuasa turut membongkar premis yang dijadikan pusat perjudian dalam talian.

Basri menjelaskan, semua tahanan berusia antara 21 hingga 65 tahun itu didapati tidak memiliki dokumen perjalanan sah, tinggal melebihi tempoh, atau menggunakan kad pengenalan palsu.

Kesemua mereka kini dibawa ke ibu pejabat JIM Putrajaya untuk proses saringan awal sebelum ditempatkan di depoh tahanan sementara menunggu tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(4) dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.


 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top