Business

Industri kreatif pada landasan betul, siri animasi tempatan berjaya di luar negara

Gambar Durioo+

Industri kreatif negara berada di landasan yang betul, dengan beberapa siri animasi keluaran tempatan yang berjaya mencipta nama di luar negara.

Menurut Pengasa platform penstriman Durioo+, industri animasi negara kini semakin berkembang dan mencipta ribuan peluang pekerjaan, malah ada produk air tangan bakat tempatan ini ‘terbang’ jauh ke Jepun, seperti filem Mechamato Movie.

Filem terbitan syarikat Monsta Studio itu telah memecah rekod ‘box office’ apabila berjaya mengutip RM30.75 juta selepas 22 hari ditayangkan di pawagam dalam negara pada tahun 2022, turut mengatasi kutipan filem animasi gergasi Hollywood lain termasuk Minions 2: The Rise of Gru, Big Hero 6, Incredibles 2, Kung Fu Panda 2 dan How To Train Your Dragon: The Hidden World.

“Industri animasi kita sangat kukuh. Kita banyak bakat, banyak kisah yang baik untuk disampaikan, bukan Durioo+ sahaja tapi dari syarikat lain seperti Monsta Studio (Boboiboy, Mechamato), Wow, Les’ Copaque Production (Upin Ipin), Digital Durian (Didi & Friends, Omar & Hana) dan banyak lagi,” katanya dilaporkan FMT.

Sinan berkata, Durioo+ kini mempunyai langganan di 99 negara dan angkanya semakin meningkat.

Lebih membanggakan, kata Sinan, siri animasi Robozeta ditayangkan di Durioo+ semakin popular dalam kalangan kanak-kanak di luar negara, meskipun menggunakan Bahasa Melayu.

“Ada maklum balas ibu bapa daripada Amerika Syarikat dan Dubai bahawa anak-anak mereka gemar menonton Robozeta tapi animasi itu hanya dalam Bahasa Melayu,” ujarnya

Katanya, Durioo+ turut membantu menaikkan industri kreatif negara apabila turut menayangkan beberapa produk syarikat tempatan dalam platform penstriman itu.

“Kita juga bawa IP (harta intelek) dan animasi syarikat lain ke luar negara. Kita bangga menyumbang pada ekosistem kreatif Malaysia,” katanya yang juga pencipta siri animasi terkenal, Didi & Friends serta Omar & Hana, sebelum memulakan platform penstiman Durioo+.

Pada Mac lalu, Durioo+ memperkenalkan animasi yang menggabungkan ajaran Islam dengan genre fiksyen sains dan aksi bertajuk ILM: Kebangkitan Khalifah, menampilkan artis terkenal, Alif Satar sebagai seorang daripada watak suara dalam siri itu

 

PALING POPULAR

To Top