Kenyataan kontroversi Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett yang menolak campur tangan dalam pengurusan hal ehwal Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis telah mengundang kemarahan Jordan dan Palestin.
Pendirian beliau dilihat sebagai penafian terhadap perjanjian damai Israel-Jordan pada 1994 yang memberi Amman peranan untuk menguruskan dan menyelia kesucian Islam dan Kristian di kota lama tersebut.
“Kami tolak sebarang campur tangan asing,” katanya ketika beliau menarik balik perjanjian tersebut yang turut melarang pencerobohan bangsa Yahudi di pekarangan al-Aqsa (Haram al-Sharif) yang menjadi punca utama konflik di kota suci itu.
Menurutnya, keputusan tentang al-Aqsa dan Baitulmaqdis akan diambil oleh rejim Tel Aviv.
Menerusi ucapan pembukaan sesi Kabinet pada Ahad, Bennett juga menyatakan Israel kononnya akan terus mengekalkan layanan hormat terhadap semua agama di Baitulmaqdis.
Sebagai respons, Jawatankuasa Palestin Parlimen Jordan bertindak menyelar kenyataan perdana menteri berkenaan yang menyentuh isu kedaulatan ke atas al-Aqsa yang disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.
“Anda jangan cuba untuk menguji kesabaran dua bilion orang Islam di seluruh dunia. Ia adalah cubaan untuk mencetuskan konflik agama dan satu bentuk ‘rampasan’ terhadap realiti bersejarah al-Aqsa dan Baitulmaqdis,” jelasnya.
Difahamkan, pegawai di Amman dan Tel Aviv bersetuju untuk mengadakan pertemuan selepas Ramadan untuk membincangkan pengaturan sekitar al-Aqsa, namun tiada tarikh atau butiran tentang mesyuarat itu telah ditetapkan sehingga kini.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian damai Israel-Jordan tersebut, ia bersetuju mengekalkan peranan Amman sebagai ‘penjaga’ di kompleks berkenaan dan bersetuju untuk bekerjasama mengeratkan tiga agama monoteistik, komitmen moral, kebebasan beribadat, toleransi serta keamanan. – Agensi
* Artikel asal di Sinar Harian