Umum

Isu logo kasut mirip kalimah Allah, Jabatan Perdana Menteri adakan pertemuan selaras tindakan

Gambar Facebook

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan mengadakan pertemuan dengan pihak bertanggungjawab dalam masa terdekat bagi menyelaras tindakan bersepadu menangani isu logo kasut keluaran Vern’s Holding Sdn Bhd yang didakwa mirip kalimah Allah.

Turut terlibat dalam pertemuan tersebut adalaha pihak Jabatan Agama Islam negeri dan pihak berkuasa seperti polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar, komitmen utama jabatan itu adalah menjaga kesucian agama Islam dan maslahat umat Islam.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang jelas terbukti membuat tindakan yang menghina agama Islam,” katanya.

Terdahulu tular sebuah video berdurasi 3 minit di media sosial memperlihatkan seorang lelaki mendakwa kasut Vern’s yang dibelinya memaparkan logo seakan-akan kalimah Allah.

Sehubungan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah bertemu dengan Pengasas dan Pengarah Urusan Vern’s Holding Sdn Bhd Ng Chuan Hoo pada hari Isnin.

“Jakim telah diarah untuk memberikan kerjasama penuh kepada polis dalam melengkapkan siasatan,” katanya.

“Sekiranya terdapat elemen yang bertentangan dengan undang-undang, maka proses selanjutnya akan diambil oleh pihak polis.”

Menteri itu menasihatkan semua pihak agar sentiasa bertenang serta tidak mengambil sebarang langkah melulu yang menyalahi undang-undang negara.

Katanya, menjadi kewajipan semua pihak untuk menjaga akhlak dan tingkah laku, agar keharmonian dan perpaduan dalam negara sentiasa terpelihara.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top