Pelakon dan penyanyi terkenal, Jaafar Onn Awang menghembuskan nafas terakhir pada usia 72 tahun di Hospital Sultan Idris Shah Serdang (Hospital Serdang) pada hari Rabu.
Berita duka itu dikongsikan anak saudara Allahyarham, Fahmi Aziz menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya.
“Pak cik saya, Jaafar Onn telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi. Doakan roh arwah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman,” tulisnya.
Dilaporakan, Allahyarham sebelum itu dikejarkan ke hospital pada hari Selasa selepas mengalami berak berdarah dan ditempatkan di zon kritikal.
Bagaimanapun keadaan Allahyarham kembali stabil dan ditempatkan di wad biasa untuk pemerhatian doktor.
Semasa hayatnya, Jaafar Onn yang mahir memasak mula menyertai dunia seni sejak 1970-an sebagai penari sebelum menjadi pengacara dan chef jemputan dalam beberapa program televisyen selain berbakat sebagai penyanyi serta aktif dalam bidang lakonan.