Umum

Jabatan Kesihatan Johor Siasat Dakwaan Kesilapan Pemasangan Alat Cegah Kehamilan

Jabatan Kesihatan Johor sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang doktor di sebuah klinik kesihatan di Pekan Nanas yang dipercayai melakukan kesilapan semasa prosedur pemasangan alat pencegah kehamilan dalam rahim atau intrauterine contraceptive device (IUCD).

Menurut kenyataan rasmi jabatan itu, Pejabat Kesihatan Pontian telah memulakan siasatan selepas satu aduan diterima melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) pada 23 Disember lalu.

Difahamkan, pesakit berkenaan menjalani prosedur pemasangan IUCD pada 19 Disember sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru untuk rawatan lanjut selepas mengalami komplikasi.

Dakwaan awal menyebut pesakit mengalami kebocoran pada rahim selain kecederaan pada usus dan apendiks, yang dikatakan berlaku semasa prosedur tersebut dijalankan.

Jabatan Kesihatan Johor memaklumkan satu jawatankuasa siasatan khas telah ditubuhkan bagi meneliti insiden berkenaan secara menyeluruh.

“Kementerian Kesihatan memandang serius perkara ini dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk ketidakpatuhan atau amalan yang boleh menjejaskan keselamatan pesakit serta kualiti perkhidmatan kesihatan,” menurut kenyataan itu.

Pesakit turut dilaporkan mendakwa mengalami kesakitan ketika prosedur dilakukan, namun dimaklumkan oleh pegawai perubatan yang menjalankan rawatan bahawa keadaan tersebut adalah normal.

Dalam perkembangan berkaitan, satu laporan polis juga dilaporkan telah dibuat terhadap doktor terbabit atas dakwaan kecuaian perubatan.

Kes ini masih dalam siasatan dan semua pihak dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top