Umum

JAKIM: Produk La Pasta Carbonara Tidak Pernah Disahkan Halal, Tidak Dipasarkan di Malaysia

KUALA LUMPUR, 31 Jan 2026 — Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengesahkan bahawa produk La Pasta Carbonara Flavour Pasta and Sauce tidak pernah dipersijilkan halal oleh JAKIM dan tidak dipasarkan di Malaysia, susulan pengumuman pihak berkuasa agama Brunei mengenai penemuan DNA khinzir dalam produk tersebut.

Dalam satu kenyataan media hari ini, JAKIM merujuk kepada pengumuman rasmi Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam bertarikh 29 Januari 2026 berhubung penemuan DNA khinzir dalam produk keluaran San Remo Macaroni Co. Pty Ltd, Australia.

Menurut JAKIM, semakan mendapati produk berkenaan tidak pernah menerima pensijilan halal daripada jabatan itu. Selain itu, semakan di laman sesawang rasmi San Remo Malaysia turut mengesahkan bahawa produk La Pasta Carbonara Flavour Pasta and Sauce tidak dipasarkan di Malaysia.

JAKIM turut memaklumkan bahawa produk tersebut tidak memaparkan logo halal daripada mana-mana Badan Pensijilan Halal Luar Negara (FHCB) yang diiktiraf oleh JAKIM pada label pembungkusannya.

“JAKIM akan terus melaksanakan pemantauan secara berterusan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta bekerjasama rapat dengan Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai produk berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memilih produk yang dipersijilkan halal oleh JAKIM atau badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf, selain mengamalkan sikap berhati-hati dengan menyemak label dan kandungan produk sebelum membuat pembelian.

JAKIM turut menggesa orang ramai untuk segera membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat sebarang penyalahgunaan logo halal pada produk yang tidak halal bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin bin Suhaimee.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top