Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan bahawa snek popular dari Korea Selatan yang didakwa mengandungi ramuan berasaskan babi tidak pernah dipersijilkan halal oleh pihaknya.
Dalam kenyataan media, JAKIM memaklumkan produk import tersebut juga tidak memaparkan logo halal daripada mana-mana Badan Pensijilan Halal Luar Negara (Foreign Halal Certification Body, FHCB) yang diiktiraf oleh JAKIM pada label pembungkusan.
Orang Ramai Diminta Lebih Berhati-Hati
JAKIM menasihatkan pengguna supaya sentiasa memilih produk yang dipersijilkan halal oleh JAKIM atau badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf.
- Memilih produk yang mempunyai sijil halal JAKIM
- Memastikan logo halal adalah daripada badan luar negara yang diiktiraf
- Menyemak kandungan ramuan sebelum membuat pembelian
“Amalkan sikap berhati-hati dalam memilih produk seumpamanya dengan menyemak label dan kandungan produk terlebih dahulu sebelum membuat pembelian,” menurut kenyataan itu.
Lapor Jika Ada Salah Guna Logo Halal
JAKIM turut menegaskan bahawa sekiranya terdapat sebarang penyalahgunaan logo halal pada produk yang tidak halal, orang ramai disaran agar membuat laporan segera kepada pihak berkuasa berwibawa untuk tindakan lanjut.
Kenyataan tersebut ditandatangani oleh Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee.
