Business

JD Logistics perluas penghantaran ekspres antarabangsa Asia Tenggara

JD Logistics (turut dikenali sebagai JINGDONG Logistics), cabang logistik syarikat gergasi e-dagang Cina JD.com, hari ini mengumumkan secara rasmi pelancaran perkhidmatan penghantaran ekspres dari China ke tujuh negara Asia Tenggara: Singapura, MalaysiaThailandVietnam, Indonesia, Filipina dan Brunei.

Pengembangan ini menyusuli pelancaran perkhidmatan syarikat ke Korea Selatan dan Jepun baru-baru ini dalam bulan September. Sejak melancarkan operasi ekspres antarabangsanya pada akhir 2023, JD Express (JINGDONG Express) melancarkan dua perkhidmatan utama: “Ekspres Antarabangsa” dan “Ekspres Standard Antarabangsa”. Perkhidmatan ini kini mencakupi hampir 30 negara dan wilayah, dengan bilangannya dijangka mencecah kira-kira 80 menjelang akhir tahun, bagi memenuhi pelbagai keperluan perniagaan dan juga pengguna.

JD Logistics merupakan peneraju bagi perkhidmatan rantaian bekalan bersepadu dan memacu inovasi dalam industri ini selama lebih sedekad lamanya, khususnya dengan perkhidmatan penghantaran perintis hari yang sama dan hari berikutnya. Hari ini, lebih daripada 90% pesanan runcit JD.com dipenuhi dalam masa 24 jam. Syarikat ini menggaji lebih 300,000 kakitangan penghantaran dalaman dan mengendalikan lebih daripada 1,600 gudang.

Selain daripada meluaskan rangkaian penghantaran ekspresnya, JD Logistics terus meluaskan rantaian bekalan dan keupayaan pergudangannya ke pasaran antarabangsa. Pada masa ini, ia mengendalikan hampir 100 gudang terikat, mel terus dan luar negara di seluruh A.S., Jerman, Belanda, Perancis, U.K., Australia dan seterusnya. Di Asia Tenggara, JD Logistics mengendalikan beberapa gudang tempatan di Malaysia dan Vietnam. Dalam bulan September, syarikat ini membuka gudang kendalian sendiri yang keduanya di Malaysia, sebuah kemudahan berkeluasan 10,000 meter persegi yang menyediakan pergudangan B2B dan B2C, pemenuhan 24 jam yang pantas, logistik balikan, pemenuhan omni-saluran, pengangkutan, pelepasan kastam dan perkhidmatan nilai tambah yang lain. Gudang ini juga diperakui LEED sebagai Bangunan Hijau.

Awal tahun ini, JD Logistics mengumumkan rancangan untuk menggandakan kapasiti gudang luar negaranya menjelang tahun 2025 sebagai sebahagian daripada strategi rantaian bekalan globalnya yang lebih luas. Pengembangan ini mencerminkan komitmen JD Logistics untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap penyelesaian logistik rentas sempadan. Dengan fokusnya yang berterusan kepada keandalan, kecekapan dan inovasi, JD Express International kekal menjadi rakan kongsi yang dipercayai dalam penghantaran global, menawarkan penyelesaian logistik yang lancar dan boleh dipercayai untuk pelanggan di seluruh dunia.

PALING POPULAR

To Top