Buletin

Jelebu alami banjir terburuk di Negeri Sembilan

Bencana banjir yang melanda lapan negeri termasuk Negeri Sembilan pada minggu lepas, disifatkan oleh banyak pihak sebagai antara yang terburuk di negara ini dalam tempoh 50 tahun.

Musibah yang datang ketika rakyat masih lagi diancam jangkitan COVID-19, menambah beban mereka yang sudah sedia terbeban khususnya dari segi ekonomi.

Di negeri ini, Jelebu yang merupakan daerah paling subur dan terkenal dengan durian Jelebu, antara yang paling teruk terjejas dalam bencana itu, melibatkan 11 kawasan dengan puluhan buah kampung, selepas hujan lebat selama lebih lima jam sejak 6 petang pada 18 Dis.

Penduduk di kampung yang terkesan, antaranya Kampung Chennah, Kampung Puom dan Kampung Pah, iaitu kawasan paling teruk terjejas, langsung tidak menyangka kejadian hujan lebat luar biasa itu akan memberi kesan yang amat besar kepada mereka.

Kebanyakan mangsa yang ditemui Bernama reda dengan ujian yang menimpa mereka, namun masing-masing mengakui masih lagi dalam keadaan terkejut apabila melihat begitu banyak kerosakan yang ditinggalkan oleh bencana itu, termasuk kehilangan tempat tinggal kerana rumah dihanyutkan arus, atau hanya tinggal bumbung, atau senget dan tidak selamat didiami, atau ranap sepenuhnya.

Kerugian dari segi ternakan dan tanaman juga tidak terkira, sementara beberapa lokasi tumpuan pelancong turut musnah.

Sekalipun begitu, warga Jelebu tetap bersyukur kerana tiada yang kehilangan ahli keluarga dalam bencana tersebut yang menyaksikan paras banjir setinggi lebih dua meter.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top