Suasana pilu menyelubungi pengebumian juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kapten Mohamad Affendi Bustamy, 31, di Tanah Perkuburan Islam Muadzam Shah di sini, malam ini.
Jenazah Allahyarham yang tiba di tanah perkuburan itu jam 7.28 malam selamat dikebumikan pada jam 8.30 malam.
Terdahulu, jenazah tiba di rumah keluarganya di Muadzam Shah pada jam 6.30 petang sebelum dibawa ke Masjid Besar Muadzam Shah untuk solat jenazah.
Upacara pengebumian kemudian disempurnakan dengan penuh istiadat ketenteraan dengan keranda membawa jenazah dilitupi Jalur Gemilang dan diusung oleh anggota tentera berpakaian istiadat.
Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Asghar Khan Goriman Khan bersama pegawai-pegawai kanan TUDM turut hadir memberi penghormatan terakhir.
Selesai pengebumian, Mohd Asghar menyerahkan Jalur Gemilang kepada isteri Allahyarham, Nurul ‘Izzati Shari, sebagai tanda penghormatan.
Dalam kejadian 10.07 malam Selasa, pesawat Hawk MK108 TUDM terhempas bersama dua juruterbangnya ketika mengadakan latihan penerbangan malam.
Insiden itu menyebabkan Mohamad Affendi terkorban manakala rakannya, Mejar Mohd Fareez Omar, cedera dan kini menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang dan dilaporkan dalam keadaan selamat dan stabil.