Umum

JPN siasat guru guna gambar propaganda tentera China dalam poster Bulan Kebangsaan

Gambar Facebook

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang siasat tindakan seorang guru di sebuah sekolah menengah yang menggunakan gambar tidak sepatutnya pada poster pertandingan bersempena dengan Bulan Kebangsaan.

Menurut Pengarah JPN Pulau Pinang Abdul Said Hussain, pihaknya memandang serius perkara itu, dan kesal atas kecuaian guru terbabit menggunakan gambar tersebut sebagai bahan promosi untuk pertandingan berkenaan.

Menurut laporan Bernama, beliau turut berkata laporan awal diterima daripada pihak sekolah, guru dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Seberang Perai Tengah (SPT) berhubung perkara ini serta siasatan lanjut masih dijalankan.

“Kita kesal atas kecuaian yang berlaku dan amat berharap semua pihak bersabar dan beri ruang kepada PPD dan JPN untuk jalankan siasatan,”

“Tindakan sewajarnya akan diambil bagi memastikan kejadian seumpama ini tidak berlaku lagi,” ujarnya.

Terdahulu, tular di media sosial sebuah poster pertandingan buku skrap anjuran sebuah sekolah menengah yang didakwa menggunakan gambar propaganda tentera China, menerima kritikan pelbagai pihak.

Sehubungan itu, Abdul Said berkata, guru terbabit didakwa tidak sengaja menggunakan gambar itu dan beliau telah membuat permohonan maaf pada Khamis lepas.

Sementara itu, poster pertandingan asal juga sudah ditarik balik dan digantikan dengan poster lain.

Abdul Said berkata, poster itu pada mulanya dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp ibu bapa oleh guru sekolah itu pada 15 Ogos sebagai makluman untuk pelajar menyertai pertandingan anjuran pihak sekolah bersempena dengan Bulan Kebangsaan.

Katanya, JPNPP amat menggalakkan inisiatif pihak sekolah, PPD, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta komuniti swasta menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dengan menganjurkan pelbagai kegiatan, namun ia perlu mendapat kelulusan daripada pihak atasan sebelum dilaksanakan.

Setiap aktiviti yang dilaksanakan perlu dibentangkan dalam Mesyuarat Panitia atau Mesyuarat Kokurikulum dan diluluskan serta disahkan oleh Ketua Jabatan, katanya.

Ia bertujuan bagi semakan, pembetulan, penjaminan kualiti dan pengesahan untuk mengelakkan kesilapan atau ketidakpatuhan kepada dasar-dasar kurikulum kebangsaan dan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP), katanya.

 

 

PALING POPULAR

To Top