Umum

Kad Fizikal Lesen Memandu Kini Boleh Dipohon Tanpa Bukti Ke Luar Negara

Orang ramai kini mempunyai pilihan untuk mendapatkan kad fizikal Lesen Memandu Malaysia (LMM) tanpa perlu mengemukakan bukti perjalanan ke luar negara, berkuat kuasa 23 Januari 2026.

Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) berkata langkah itu diambil bagi mengurangkan karenah birokrasi serta mengambil kira maklum balas orang awam, khususnya daripada pemandu yang memerlukan lesen fizikal untuk kegunaan memandu di luar negara.

Sejak pengenalan Lesen Memandu Digital pada Februari 2023, jumlah pengguna aplikasi MyJPJ telah mencecah 13 juta orang, mencerminkan penerimaan meluas terhadap inisiatif pendigitalan perkhidmatan awam.

Menurut MOT, pengguna kini semakin selesa memperbaharui lesen secara dalam talian melalui aplikasi MyJPJ tanpa perlu hadir ke pejabat JPJ, dengan Lesen Memandu Digital dikeluarkan secara automatik.

Bagaimanapun, berdasarkan maklum balas diterima, JPJ telah diarahkan supaya tidak lagi mensyaratkan bukti keluar negara bagi permohonan cetakan kad fizikal LMM.

Bermula tarikh berkuat kuasa, cetakan kad fizikal LMM akan dikenakan bayaran RM20 bagi warganegara Malaysia dan RM100 bagi bukan warganegara Malaysia.

Permohonan boleh dibuat secara terbuka di semua kaunter JPJ dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara, tanpa sebarang sekatan kategori seperti sebelum ini.

Dalam masa sama, dasar sedia ada yang membolehkan kumpulan tertentu mendapatkan kad fizikal LMM secara percuma akan terus dikekalkan, melibatkan:

  • Warga emas berumur 60 tahun dan ke atas
  • Pemegang Lesen Kelas A1 dan A
  • Pemegang Kad OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)

Pemandu yang memilih Lesen Memandu Digital boleh terus mengakses dan memperbaharui lesen secara percuma melalui aplikasi MyJPJ tanpa perlu ke mana-mana pejabat.

MOT dan JPJ menegaskan komitmen untuk terus menambah baik perkhidmatan kepada rakyat serta menggalakkan orang ramai memanfaatkan sepenuhnya kemudahan Lesen Memandu Digital bagi pengalaman yang lebih mudah, pantas dan lancar.

Kementerian Pengangkutan Malaysia
22 Januari 2026

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top