Edisi ke-10 raikan kerjasama rentas sempadan dan semangat keusahawanan generasi muda Asia Tenggara
KUALA LUMPUR, 15 Oktober 2025 — Apa yang bermula sepuluh tahun lalu sebagai platform kecil untuk menggilap idea dan inovasi belia kini berkembang menjadi antara acara keusahawanan paling berprestij di rantau ini.
Karnival Usahawan Muda ASEAN 2025, yang berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE (MECC) dari 15 hingga 16 Oktober, diraikan sebagai tanda satu dekad kejayaan membina rangkaian keusahawanan serantau di bawah tema “Connecting ASEAN, Creating Global Change.”
Acara tersebut dirasmikan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim, yang menegaskan kepentingan belia sebagai ejen perubahan ekonomi dan sosial serantau.
“Golongan muda hari ini bukan sahaja mencipta peluang pekerjaan, tetapi juga membawa penyelesaian baharu dalam aspek kelestarian, pendigitalan dan kesejahteraan sosial,” katanya.
“Kerajaan di bawah pimpinan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim memberi tumpuan besar kepada pembangunan belia dan keusahawanan sebagai agenda penting negara dan rantau.”
Ekosistem Keusahawanan Serantau yang Lebih Kukuh
Dianjurkan bersama oleh ASEAN Young Entrepreneurs Council (AYEC), Persatuan Usahawan Muda Malaysia (MAYA) dan Majlis Belia Malaysia (MBM), karnival dua hari ini menghimpunkan pemimpin belia, komuniti perniagaan dan pelabur dari seluruh negara ASEAN.
Melalui sesi perkongsian, padanan pelabur, bimbingan perniagaan dan pameran produk, para peserta berpeluang menukar idea menjadi perusahaan — dan perusahaan menjadi impak sebenar kepada ekonomi serantau.
Kamil turut menegaskan komitmen kerajaan untuk memperkukuh ekosistem keusahawanan melalui dasar seperti Kerangka Ekonomi MADANI, Rangka Tindakan Ekonomi Digital (MyDIGITAL) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
“Agensi seperti SME Corp, MARA, MDEC dan MATRADE berperanan aktif menyediakan geran, bimbingan serta akses ke pasaran global bagi membantu anak muda melonjak ke peringkat antarabangsa,” tambahnya.
Raikan Kepelbagaian dan Inovasi ASEAN
Lebih daripada sekadar platform niaga, karnival ini turut meraikan kreativiti dan kepelbagaian rantau ASEAN — daripada fesyen lestari dan inovasi makanan, hinggalah kepada perusahaan sosial yang memadukan keuntungan dengan matlamat murni.
Penekanan terhadap keusahawanan wanita, transformasi digital dan inovasi hijau menyerlahkan komitmen rantau ini terhadap pertumbuhan inklusif dan mampan.
“Karnival ini bukan sekadar acara perniagaan, tetapi menjadi pentas membentuk masa depan ASEAN,” kata Deborah Melissa Bottreau, Pengerusi AYEC 2025 merangkap Setiausaha Agung Pengasas AYEC serta Pengerusi Kelab Usahawan Wanita Muda ASEAN (AYWEC).
“Kalau dulu kita bermula dengan syarikat pemula, kini kita membina ekosistem. Usahawan muda ASEAN bukan lagi pemerhati, sebaliknya mereka kini pemacu utama ekonomi.”
Kerjasama Serantau dan Global
Edisi tahun ini turut mendapat sokongan daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Sekretariat ASEAN, serta ASEAN-Business Advisory Council (ASEAN-BAC).
Kerjasama strategik turut dijalin bersama agensi seperti MATRADE dan MIDA, selain rakan antarabangsa termasuk International Alliance of Young Entrepreneurs Associations (IAYEA) dan China International Youth Exchange Center — sekali gus memperkukuh kedudukan ASEAN di pentas global.
Menandakan ulang tahun ke-10 sejak diasaskan di Malaysia pada 2015, karnival tahun ini menjadi cerminan kejayaan AYEC sebagai wadah utama suara belia dalam pembangunan ekonomi ASEAN.
“Kami akan terus memperjuangkan kerjasama berasaskan inovasi dan pertumbuhan inklusif di seluruh Asia Tenggara,” tambah Deborah.
Berlangsung meriah di Dewan MATRADE, Karnival Usahawan Muda ASEAN ke-10 bukan sekadar sambutan, tetapi satu komitmen berterusan untuk memastikan ASEAN kekal muda, kreatif dan bersatu dalam mencorak perubahan global.
