Majlis Konvokesyen Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) Ke-19 telah menyaksikan 4,320 graduan muda lepasan ILKBS di peringkat Diploma Lanjutan, Diploma, Sijil Lanjutan dan Sijil bertempat di Bangi Avenue Convention Centre (BACC).
Majlis Konvokesyen ILKBS yang dirasmikan YB Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sekali lagi mengekekalkan tema “Graduan ILKBS: Menepati Keperluan Industri” sebagai tema yang membuktikan komitmen berterusan untuk meningkatkan sinergi antara ILKBS dan industri. Majlis turut dihadiri, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), YBhg.Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu.
Pencapaian 2 graduan ILKBS yang mewakili Malaysia dalam pertandingan kemahiran peringkat dunia, WorldSkills Competition 2024 di Lyon, Perancis membuktikan ILKBS mampu melahirkan graduan muda TVET yang bukan hanya cemerlang di peringkat Asia malah mampu bersaing di persada antarabangsa.
Dalam ucapannya, Hannah berkongsikan keunikan latihan di ILKBS yang menggabungkan 80 peratus latihan kemahiran dan 20 peratus program pembangunan jati diri yang dilihat mampu memperkukuhkan disiplin pelajar di samping mempersiapkan mereka untuk menghadapi cabaran masa hadapan yang semakin kompleks.
Menuju tahun 2030, seiring hasrat Kerajaan untuk meningkatkan tenaga kerja berkemahiran tinggi kepada 35% dalam sektor ekonomi negara, KBS terus komited menambah baik dan menawarkan kursus-kursus berkualiti seiring perubahan teknologi terkini untuk memastikan golongan belia lebih berdaya saing, relevan dan menepati keperluan industri. Usaha ini sejajar dengan Dasar Belia Malaysia (DBM) dan Model Pembangunan Belia Madani 2030 (MPBM2030).
Sementara itu, Hannah turut menyentuh mengenai insentif Kerajaan melalui pelepasan cukai sehingga RM1,000 bagi pembelian peralatan dan aktiviti sukan. Inisiatif ini bertujuan menggalakkan rakyat Malaysia khususnya golongan muda yang baharu memasuki alam pekerjaan untuk menjalani gaya hidup aktif dan sihat.