Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperkukuh penguatkuasaan serta kehadiran polis di kawasan sekolah sebagai langkah menyokong pelaksanaan Dasar Keselamatan Digital Pelajar yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata langkah ini selaras dengan usaha kerajaan untuk menangani penyalahgunaan peranti dan media sosial dalam kalangan pelajar yang semakin membimbangkan, termasuk kes buli siber, tekanan emosi dan masalah disiplin.
Sebagai pelengkap kepada dasar yang mengehadkan akses kepada platform berunsur keganasan, lucah dan kandungan negatif, KDN melalui PDRM akan melaksanakan tindakan bersepadu yang memberi tumpuan kepada pendidikan, pencegahan dan penguatkuasaan.
Antara langkah utama termasuk:
- Meningkatkan rondaan dan kehadiran polis di sekolah (police omnipresence);
- Memperkasa peranan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) untuk membimbing pelajar mengenai disiplin dan keselamatan siber;
- Kempen kesedaran keselamatan digital bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan PIBG;
- Sokongan kesihatan mental mesra belia di sekolah dan komuniti;
- Penguatkuasaan jelas terhadap penyalahgunaan peranti dan buli siber; serta
- Pendidikan literasi digital beretika bagi membentuk pelajar yang bertanggungjawab di dunia maya.
Saifuddin turut menegaskan bahawa keselamatan digital pelajar bukan sekadar isu disiplin sekolah, tetapi tanggungjawab nasional yang menuntut kerjasama menyeluruh antara kerajaan, institusi pendidikan, ibu bapa, komuniti dan industri teknologi.
“Langkah ini bukan untuk menyekat kebebasan, tetapi melindungi masa depan generasi muda agar mereka membesar dalam persekitaran pembelajaran yang selamat, berdisiplin dan sejahtera — baik dari segi mental mahupun digital — seiring aspirasi Malaysia Madani,” katanya.
