4 daripada 15 individu yang ditahan dalam siasatan kes memasak di stesen minyak di Genting Highlands, baru-baru ini, akan didakwa di mahkamah esok.
Menurut laporan Berita Harian, Ketua Polis Bentong Zaiham Mohd Kahar berkata mereka yang bakal dituduh terdiri seorang lelaki dan tiga wanita berusia 23 hingga 24 tahun.
“Proses pertuduhan ke atas mereka akan dijalankan di Mahkamah Bentong, Pahang pada 9 pagi esok.
“Mereka akan dituduh mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan (perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain),” katanya.
11 individu lagi yang ditahan dibebaskan dan dijadikan saksi dalam kes itu.
Zaiham juga menafikan dakwaan ada anak orang kenamaan atau VIP dalam kalangan 15 orang yang ditahan berkait kes itu.
Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi seminit lebih memaparkan sekumpulan individu memasak mi segera di kawasan sebuah stesen minyak di Genting Highlands.
15 individu ditahan untuk membantu sisatan dan dilepaskan atas jaminan polis susulan pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada 14 Mei lalu.