Kejuaraan Dunia Pemandu Formula Satu (F1) 2025 bakal ditentukan dalam perlumbaan terakhir musim ini di Litar Yas Marina, Abu Dhabi, hujung minggu ini, dengan tiga pemandu masih berpeluang merebut gelaran juara dunia dalam penamat yang dijangka paling mendebarkan dalam sejarah moden F1.
Kemenangan dramatik Max Verstappen di Qatar telah melonjakkan pelumba Red Bull itu ke tangga kedua kedudukan keseluruhan dengan 396 mata, hanya 12 mata di belakang pendahulu carta, Lando Norris dari McLaren. Rakan sepasukan Norris, Oscar Piastri, kini berada di tempat ketiga, ketinggalan 18 mata daripada peneraju kejuaraan.
Persaingan tiga penjuru ini merupakan yang pertama sejak tahun 2010, dan kali keempat penentuan gelaran dunia berlangsung di Abu Dhabi. Ia juga menandakan kali pertama tiga pemandu tiba ke perlumbaan terakhir dengan peluang merangkul gelaran juara dunia.
Verstappen, yang memburu kejuaraan dunia kelimanya, memenangi empat daripada lima perlumbaan terakhir di Yas Marina, dengan rekod itu hanya dipatahkan oleh Norris pada musim 2024.
Abu Dhabi Bersedia Jadi Tumpuan Dunia
Ketika tumpuan peminat sukan permotoran global tertumpu ke Emiriah Arab Bersatu, penganjur Grand Prix Abu Dhabi, Ethara, turut mengumumkan beberapa penambahan baharu dalam program hiburan bagi meningkatkan lagi pengalaman peminat.
Ketua Pegawai Eksekutif Ethara, Saif Al Noaimi, berkata penentuan kejuaraan F1 2025 di Abu Dhabi yang melibatkan tiga pelumba menjadikan acara itu lebih bersejarah.
“Kejuaraan Dunia F1 2025 akan ditentukan di Abu Dhabi dalam pertarungan tiga penjuru yang pertama sejak 2010. Kami membina hujung minggu perlumbaan yang sepadan dengan detik bersejarah ini melalui konsert utama selama empat malam, akses litar yang diperluas serta program hiburan di seluruh bandar,” katanya.
Dua Sesi Pit Lane Walk & Akses Pasca Perlumbaan
Susulan permintaan tinggi, edisi 2025 akan menampilkan dua sesi Pit Lane Walk pada Khamis, 4 Disember, memberikan peluang kepada peminat melihat persiapan garaj pasukan dan berpeluang melihat pelumba secara dekat. Akses ini eksklusif kepada pemegang tiket empat hari dan ditawarkan berdasarkan prinsip siapa cepat dia dapat.
Buat julung kalinya juga, lebih banyak pintu grandstand akan dibuka selepas perlumbaan tamat pada Ahad, 7 Disember, membolehkan peminat menyertai sambutan di bawah podium dan menyaksikan detik rasmi penabalan juara dunia F1 2025.
Akses Percuma Tarikan Pelancongan & Konsert Bertaraf Dunia
Pemegang tiket berbilang hari turut menikmati akses percuma ke tarikan utama Abu Dhabi termasuk taman tema Yas Island, Louvre Abu Dhabi dan Qasr Al Watan, selain destinasi baharu seperti teamLab Phenomena, Muzium Sejarah Alam Abu Dhabi dan Zayed National Museum yang dibuka mulai 3 Disember.
Program hiburan Grand Prix turut diserikan dengan empat malam Konsert After-Race Emirates NBD Yasalam di Etihad Park yang menampilkan bintang antarabangsa seperti Benson Boone, Elyanna, Post Malone, Metallica dan Katy Perry, selain parti rasmi yang menampilkan Idris Elba, Keinemusik dan Calvin Harris.
Peminat boleh mengakses maklumat lengkap minggu perlumbaan menerusi aplikasi rasmi Abu Dhabi GP, yang menyediakan fungsi pembelian tiket, tempahan Pit Lane Walk, jadual acara, panduan digital dan notifikasi masa nyata.
Setakat ini, hanya sejumlah kecil tiket masih berbaki untuk perlumbaan penentuan kejuaraan dunia yang dinanti-nantikan ini.
