Umum

Keldai akaun, phishing, ‘cryptocurrency’ antara trend terkini jenayah komersil

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti trend-trend terkini jenayah komersil yang diguna pakai oleh sesetengah pihak dalam melakukan jenayah penipuan terhadap mangsa.

Menurut Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, antara jenis jenayah itu adalah keldai akaun, pinjaman tidak wujud dan phishing.

1. Keldai akaun

Kegiatan ini melibatkan mangsa yang sanggup menyerahkan kad ATM serta nombor pin kepada individu lain dan akaun tersebut akan digunakan untuk tujuan jenayah.

Modus operandi yang digunakan sindiket adalah dengan meminta keldai akaun (mangsa) membuka akaun bank untuk disewa atau dijual dengan alasan untuk urusan perniagaan atau ‘cuci duit’ judi dalam talian.

Beberapa cara yang digunakan sindiket untuk mendapatkan keldai akaun adalah dengan cara sewa atau beli, pinjaman ah long, tawaran kerja dan beri pinjam kenalan.

2. Pinjaman tidak wujud

Suspek akan mengiklankan pinjaman wang di media cetak, media sosial atau sistem pesanan ringkas (SMS).

Menerusi kaedah ini juga, suspek akan berurusan melalui telefon serta WhatsApp dan tidak akan berjumpa dengan suspek.

Lazimnya, suspek tidak mempunyai pejabat dan menunjukkan sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang palsu. Mangsa kemudian akan diminta membuat bayaran seperti wang jaminan, duti setem, insurans dan bayaran guaman ke akaun bank sebelum suspek menghilangkan diri.

3. Phishing

Phishing adalah merupakan kaedah yang digunakan untuk mendapatkan maklumat perbankan orang lain melalui laman web palsu yang menyerupai laman web asal.

Menerusi cara ini, mangsa akan menerima SMS untuk mengemas kini maklumat perbankan internet dan diminta untuk menekan pautan pada SMS tersebut.

Mangsa kemudian akan memasukkan maklumat perbankan di dalam laman web phishing sebelum diminta menyerahkan nombor TAC kepada pihak bank yang menghubungi mangsa.

Suspek seterusnya memindahkan wang dari akaun mangsa ke akaunnya sendiri.

4. Tipu pelaburan

Modus operandi yang digunakan suspek adalah melalui iklan pelaburan di media sosial, WhatsApp atau kenalan.

Mangsa yang berminat kemudian akan ditawarkan pelaburan yang mudah dan mempunyai keuntungan besar.

Lazimnya mereka akan dijanjikan keuntungan pada 1 hingga 3 bulan pertama. Mangsa akan gagal mendapatkan keuntungan seperti yang dijanjikan dan suspek pula gagal dihubungi.

5. Ah long

Nama ini tidak asing lagi di Malaysia. Ah long adalah merupakan pemberi pinjaman wang tanpa lesen.

Pelbagai cara digunakan untuk memerangkap mangsa.

Antaranya dengan menawarkan iklan pinjaman wang melalui media sosial, SMS atau poster.

Ah long akan mengenakan faedah yang tinggi selain terma pinjaman berubah-ubah. Peminjam yang gagal atau lewat membuat bayaran akan diugut dan diancam untuk menyelesaikan hutang.

6. Pengubahan wang haram

Jenayah ini terbahagi kepada tiga peringkat.

Penempatan, lapisan dan integrasi.

Penempatan adalah merupakan kaedah yang mana wang haram dipisahkan dari sumber haram yang diperoleh dan kemudian diletakkan dalam sistem kewangan atau bank.

Manakala, lapisan melibatkan pelbagai proses transaksi dengan menjauhkan lagi dari dana haram. Tujuannya untuk mengaburi dan menyukarkannya untuk dikesan.

Peringkat terakhir adalah integrasi yang mana melengkapkan pengubahan wang haram. Dana haram berjaya masuk dalam sistem ekonomi seolah-olah dari sumber yang sah.

Suspek boleh didakwa di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

7. Mata wang Krypto atau cryptocurrency

Jenayah yang melibatkan cyrptocurrency adalah penipuan pelaburan (Skim Ponzi), keldai akaun crypto, penggodaman Digital Exhanger (DAX) dan jenayah pemerasan.

Terdapat empat jenis cryptocurrency yang diluluskan di Malaysia iaitu Bitcoin, Ripple, Ethereum dan Litecoin.

Tiga syarikat DAX yang diluluskan adalah LUNO Malaysia sdn. bhd, SINERGY Technologies (M) Sdn Bhd, TOKENIZE Technology (M) Sdn Bhd.

8. Penyamaran penipuan panggilan atau Macau scam.

Suspek biasanya menghubungi mangsa dengan menyamar sebagai penguat kuasa, institusi kewangan atau syarikat perkhidmatan seperti bank, Pos Laju, BigPay, Kastam, mahkamah dan sebagainya.

Antara situasi palsu yang direka oleh suspek adalah mengatakan mangsa terlibat kes jenayah atau mempunyai tunggakan bayaran cukai, pinjaman bank dan lain-lain.

Mangsa kemudian diugut akan ditangkap dan didakwa serta tidak dibenarkan untuk memberitahu sesiapa.

Suspek turut meminta mangsa menyerahkan maklumat peribadi seperti perbankan atau memindahkan wang ke akaun bank yang tidak dikenali bagi tujuan siasatan.

9. Love scam

Mangsa berkenalan dengan suspek di media sosial dan lazimnya menyamar menjadi askar, ahli perniagaan serta juruterbang dari luar negara.

Suspek akan berpura-pura ingin memberi hadiah mewah sebagai tanda persahabatan. Bagaimanapun, mangsa kemudian akan diminta membuat pelbagai bayaran seperti cukai dan denda untuk menuntut barangan tersebut yang kononnya telah ditahan.

Selain itu, pelaburan atau wasiat. Melalui cara ini suspek akan meminta mangsa untuk membuat pelbagai bayaran kepada pihak lain bagi tujuan perniagaan atau mendapatkan wang pusaka di Malaysia.

10. Tipu pembelian dalam talian

Mangsa selalunya akan ditawarkan dengan harga barangan jauh lebih murah dari pasaran pada iklan yang dikongsi di media sosial.

Setelah membuat pembayaran, mangsa tidak akan menerima barang yang dijanjikan dan gagal menghubungi suspek.

11. Tipu SMS

Mangsa menerima mesej mengatakan telah memenangi hadiah peraduan sebelum berkongsi maklumat peribadi di laman web phishing.

Secara tidak langsung juga mangsa telah memberikan pelbagai maklumat untuk digunakan suspek termasuk maklumat perbankan.

12. Kompromi emel perniagaan atau business email compromise

Cara ini digunakan untuk mengelirukan mangsa khasnya menerusi pertukaran kecil pada emel syarikat.

Ini sekali gus membuatkan mangsa tidak sedar dan telah mengikuti proses penipuan seperti perkongsian maklumat kepada suspek.

13. Tipu TAC

Teknik licik ini juga digunakan penjenayah untuk mengelirukan mangsa. Mangsa yang tidak sedar akan memberi pendedahan maklumat yag tidak sepatutnya selain bersetuju dengan jumlah transaksi yang diterima menerusi mesej.

14. Tipu menyamar kenalan

Cara penyamaran mudah untuk mengelirukan mangsa yang kebanyakan terdiri dari warga emas.

Selalunya, suspek akan menghubungi mangsa melalui telefon atau WhatsApp. Mereka kemudian menyamar sebagai kenalan atau ahli keluarga.

Suspek akan meminta untuk meminjam wang dengan pelbagai alasan.

Sumber: Astro Awani

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top