Umum

Keputusan permohonan lepasan SPM ke IPTA diumumkan 28 Jun ini

Gambar KPT

Keputusan permohonan melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diumumkan 28 Jun ini.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan memaklumkan keputusan ke universiti awam (UA), politeknik, kolej komuniti (KK) dan institusi latihan kemahiran awam (ILKA) peringkat sijil, asasi serta diploma sesi akademik 2024/2025 boleh disemak mulai 12 tengah hari Jumaat depan hingga 5 petang 7 Julai nanti.

“Keputusan boleh disemak dalam talian melalui https://jpt.utm.my, https://jpt.uum.edu.my, https://jpt.unimas.my, https://jpt.ums.edu.my dan https://jpt.umt.edu.my atau melalui aplikasi mudah alih UPUPocket di telefon pintar,” menurut kenyataan itu.

KPT berkata, pengesahan setuju terima tawaran bermula 29 Jun hingga 7 Julai ini menerusi laman web IPTA serta ILKA.

Surat tawaran rasmi akan dikeluarkan IPTA dan ILKA kepada pemohon berjaya mulai 29 Jun, selepas calon membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh ditetapkan.

Permohonan rayuan oleh pemohon tidak berjaya atau mendapat tawaran pengajian peringkat sijil saja boleh dikemukakan melalui Unit Pusat Universiti (UPU) bagi kemasukan ke UA dan politeknik di https://upu.mohe.gov.my dalam tempoh 10 hari mulai 12 tengah hari 28 Jun hingga 5 petang 7 Julai.

“Rayuan ke KK dan ILKA boleh dikemukakan terus ke institusi berkenaan tanpa melalui UPUOnline. Tawaran tempat bagi sesi akademik 2024/2025 adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran program pengajian dan IPTA/ILKA tidak dibenarkan.

“Dasar pemilihan rayuan tertakluk kepada kekosongan tempat ditawarkan mengikut program pengajian selepas pendaftaran pelajar baharu selesai.”

Sebarang pertanyaan mengenai permohonan UPUOnline boleh dikemukakan kepada Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA secara terus di Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA Jabatan Pendidikan Tinggi atau hubungi 03-8684 2363 dan e-mel [email protected].

PALING POPULAR

To Top