Kerajaan memutuskan untuk mengecualikan perniagaan dengan pendapatan tahunan bawah RM1 juta daripada pelaksanaan sistem e-invois, berkuat kuasa 1 Januari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam, sekali gus menaikkan ambang asal yang sebelum ini ditetapkan pada RM500,000.
“Dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam, diputuskan bahawa ambang RM500,000 itu dibatalkan dan dinaikkan kepada RM1 juta minimum,” katanya ketika berucap pada satu acara di Kota Kinabalu.
Sebelum ini, hanya perniagaan dengan pendapatan tahunan bawah RM500,000 dikecualikan daripada pelaksanaan e-invois yang dijadualkan bermula 1 Januari.
Dalam perkembangan berkaitan, pada Jun lalu, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memaklumkan bahawa Kementerian Kewangan memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan e-invois bagi syarikat yang memperoleh pendapatan antara RM1 juta hingga RM5 juta ke 1 Januari 2026, daripada tarikh asal 1 Julai 2025.
Sementara itu, pelaksanaan bagi syarikat dengan pendapatan tahunan sehingga RM1 juta yang sebelum ini dijadualkan ditangguhkan ke 1 Julai 2026, kini dibatalkan susulan keputusan terbaharu kerajaan.
