Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) mempertimbangkan mewajibkan semua penyedia perkhidmatan platform media sosial yang beroperasi di negara ini berdaftar dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dilihat wajar dilaksanakan bagi memastikan semua platform media sosial berkenaan memahami dan mematuhi aspek perundangan negara.
“…sekarang ini tak ada sebarang pendaftaran nak beroperasi di Malaysia, jadi bila berdaftar dan beroperasi di sini, nak berniaga di sini, ada undang-undang yang wajib dipatuhi, patuh arahan dan saya kira ini perlu diselesaikan segera,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat pada Rabu.
Menjawab celahan R Yuneswaran (PH-Segamat) mengenai apakah langkah yang diambil kementerian dalam mengawal selia ekosistem aplikasi TikTok, Fahmi berkata, KKD sentiasa meneliti setiap aspek dalam mencari langkah kawalan paling sesuai berdasarkan kepentingan negara.
“Di negara lain, mereka ada pelbagai undang-undang dan tangani isu berkait TikTok ini dengan cara berbeza, di Amerika Syarikat penjawat awam dilarang memuat turun aplikasi TikTok di peranti rasmi mereka, di India sudah empat tahun menyekat penggunaan TikTok dan di Indonesia pula melarang TikTok Shop.
“Bagi Malaysia kita ada keadaan yang tertentu, ada undang-undang tersendiri dan cabarannya unik kepada negara kita, jadi KKD teliti semua dan adakan sesi libat urus termasuk dengan kementerian lain dalam mencari kaedah dan tindakan paling sesuai untuk diambil,” jelas beliau.
Dalam menangani isu berkaitan perjudian dalam talian khususnya di platform Meta iaitu Facebook, Instagram dan WhatsApp, Fahmi berkata, KKD melalui SKMM telah berbincang bagi mendapatkan kerjasama penuh daripada Meta bagi memastikan masalah itu dapat diatasi dengan lebih berkesan.
“Kerajaan mahupun KKD masih sangat tidak berpuas hati dengan tahap kerjasama Meta yang masih sangat tidak memadai, oleh itu, KKD melalui SKMM telah berbincang bagi mendapatkan kerjasama penuh daripada Meta,” katanya
Sumber Sinar Harian