Penganjur sambutan Guan Gong Sedunia didapati melanggar permit melarang warga asing berarak, apabila terkait dengan pengibaran bendera China di Dataran Menara Condong Teluk Intan
Menurut Ketua Polis Perak Azizi Mat Aris bagaimanapun ada warga asing menyertai perarakan pada sambutan berlangsung malam Khamis lalu.
“Telah ditetapkan dalam syarat permit polis, tidak dibenarkan warganegara asing menyertai perarakan diadakan pihak penganjur,” katanya dalam kenyataan.
Azizi berkata seramai 16 warga China termasuk lapan lelaki berusia 40 hingga 61 tahun yang juga peserta perarakan sudah dirakam percakapan.
Katanya, 3 penganjur terdiri daripada pengerusi, setiausaha dan bendahari sebuah persatuan berusia antara 26 hingga 61 tahun dirakam percakapan jam 12.30 tengah hari, semalam.
“Seorang lelaki berusia 49 tahun yang juga pengiring kepada 16 warga China itu turut diambil keterangan,” katanya.
Azizi berkata kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan 1949 kerana mengibar bendera asing di tempat awam dan Seksyen 4(1) Akta Perhimpunan 2012 iaitu melanggar syarat permit.
“Kertas siasatan akan dirujuk ke pendakwa raya pada Isnin ini untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Perarakan berunsurkan keagamaan dan melibatkan kereta berhias itu berlangsung dari 8 malam hingga 11.30 malam, Khamis lalu disertai kira-kira 400 penonton.
Persatuan Kebudayaan Guan Gong Malaysia memohon maaf atas insiden pengibaran bendera China oleh salah satu rombongan pada malam perarakan Guan Gong Sedunia.
Pengerusinya Soon Boon Hua berkata tindakan mengibarkan bendera negara asing tersebut tidak dirancang dalam tentatif acara oleh pihak pengelola.