Kementerian Kesihatan (KKM) akan membentangkan syor daripada jawatankuasa pakar berhubung pengharaman vape kepada Kabinet selepas proses kajian selesai.
Dilaporkan media, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad, berkata langkah itu adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk mengharamkan produk berkenaan di Malaysia.
“Kita bertekad untuk ini, bukan lagi ‘kalau’. Saya akan bentang kepada Kabinet untuk diteliti,” katanya pada majlis perasmian Karnival Sihat Milik Semua di Kangar, hari ini.
Turut dilaporkan, Dzulkefly memaklumkan bahawa penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) telah menunjukkan impak positif, dengan penurunan ketara dalam kebolehdapatan produk rokok dan vape di pasaran.
Sehingga Jun lalu, hanya 2,794 varian produk merokok dan vape direkodkan, berbanding 6,824 varian sebelum akta tersebut berkuat kuasa — penurunan sebanyak 40.9%.
Beliau menegaskan keutamaan kerajaan adalah melindungi golongan orang bukan dewasa (OBD), termasuk pelajar, daripada terdedah kepada penggunaan vape dan rokok.
