KKM rancang haramkan vape sistem terbuka, bimbang penyalahgunaan dadah sintetik
PUTRAJAYA, 6 Jan 2026 – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merancang untuk mengharamkan sepenuhnya penjualan dan penggunaan rokok elektronik atau vape jenis sistem terbuka (open pod system) susulan kebimbangan terhadap penyalahgunaan cecair vape yang didapati mengandungi bahan terlarang termasuk dadah sintetik.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, vape sistem terbuka mudah dimanipulasi kerana membolehkan pengguna mengisi cecair secara manual, sekali gus membuka ruang kepada penggunaan bahan terlarang yang boleh menjejaskan kesihatan awam.
Menurut beliau, langkah pengharaman itu merupakan sebahagian daripada pendekatan tegas KKM di bawah agenda kesihatan awam dan etika, selaras dengan pendirian kementerian yang tidak akan berkompromi terhadap isu rokok dan vape.
“Pendirian saya kekal, tiada kompromi. Penguatkuasaan penuh adalah tanggungjawab moral kita untuk melindungi generasi akan datang,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu KKM 2026, hari ini.
Dzulkefly berkata, KKM menyasarkan pengharaman penuh vape sistem terbuka dilaksanakan seawal tahun 2026 sebelum mempertimbangkan langkah-langkah seterusnya berdasarkan keberkesanan dasar tersebut.
Beliau turut memaklumkan bahawa kementerian telah memperoleh persetujuan awal berkaitan cadangan pengharaman berkenaan dan akan membawanya ke Mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat bagi mendapatkan keputusan dasar.
