Acara Genting Sustainbiz F&B Expo yang dianjurkan oleh Resorts World Genting (RWG) yang berlangsung dari 10 hingga 12 September di Genting International Convention Centre (GICC), menjadi tumpuan platform Kuala Lumpur Marketplace (KL Marketplace) meneroka peluang perniagaan dan meluaskan jaringan perniagaan usahawannya.
Majlis pembukaan Expo tersebut dirasmikan oleh Yang Berhormat Khairul Firdaus Akbar Khan, Timbalan Menteri Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.
Dalam majlis tersebut, tujuh (7) chef daripada Superchef Squad Resorts World Genting telah dianugerahkan lencana sebagai pengiktirafan atas sumbangan mereka yang tidak ternilai kepada industri makanan dan minuman. Anugerah tersebut disampaikan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Operasi RWG, Lee Thiam Kit, dan disaksikan oleh Jenniffer Ong, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan HAPA, serta Peter Dewey Foster, Naib Presiden Eksekutif Hiburan, Hospitaliti, dan Gaya Hidup.
Menerusi kerjasama yang diadakan antara Kuala Lumpur Malay Chamber of Commerce (KLMCC) dan penganjur Genting Sustainbiz F&B Expo, platform KL Marketplace yang diterajui KLMCC telah mengadakan “buying Mission”, melibatkan 20 usahawan, yang telah memberi pendedahan perkembangan industri semasa serta membuka peluang delegasi mengintai peluang perniagaan yang sedia ada.
Menurut Timbalan Pengerusi KL Marketplace Rizal Abdul Rahman, ini merupakan “buying mission” yang kedua seperti ini selepas delegasi ke Food and Drinks Malaysia 2024 by SIAL (FDM2024) yang dianjurkan pada bulan Julai tahun ini.
Rizal yang juga ketua delegasi ke Genting Sustainbiz F&B Expo ini turut berkata dengan adanya aktiviti seperti ini, usahawan yang hadir bersama berpeluang mendapat pendedahan kepada trend dan innovasi industri yang terkini selain melebarkan jaringan perniagaan dalam subsektor F&B lestari dengan pengusaha tempatan dan luar negara.
Ekspo Genting SustainBiz F&B telah menyaksikan penandatangan lima (5) Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai keseluruhan RM12 juta diumumkan. Penandatangan MoU pertama dimulakan dengan MoU bersama Nestle Malaysia, untuk pembekalan produk berasaskan tumbuhan Harvest Gourmet bagi kegiatan MICE serta outlet makanan dan minuman di resort ini.
Seterusnya, penandatanganan MoU bersama Fraser & Neave (F&N) bertujuan meneroka penggunaan air mineral dalam pembungkusan karton Tetra Pak yang 100% boleh dikitar semula, dan juga MoU bersama PNH Malaysia yang memfokuskan kepada penggunaan semula sisa makanan, yang akan diubah menjadi serbuk karbon untuk menghasilkan kemudahan hotel seperti berus gigi, sikat rambut, dan peralatan makan untuk kegunaan di resort ini.
Selama hampir 10 tahun, KL Marketplace telah menganjurkan berpuluh misi dagang ke luar negara termasuk ke Hong Kong, Jepun, Indonesia, Taiwan, Arab Saudi dan Korea Selatan, melibatkan pelbagai industri daripada fesyen dan pakaian, ke makanan dan minuman.
Untuk sebarang pertanyaan, termasuk penyertaan misi dagang, sila hantar email ke [email protected]