Kuala Lumpur Malay Chamber of Commerce (KLMCC) mengorak langkah strategik dengan menyertai Food & Drinks Malaysia (FDM) by SIAL 2025 sebagai organisasi penyokong rasmi, dalam usaha memperkukuh penyertaan usahawan tempatan, khususnya bumiputera dalam industri makanan dan minuman (F&B) serantau dan antarabangsa.
Acara berprestij yang berlangsung dari 1 hingga 3 Julai 2025 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) ini menghimpunkan lebih 450 syarikat pempamer dari seluruh dunia dan berjaya menarik kehadiran lebih 15,000 pelawat perdagangan, menjadikannya antara pameran perdagangan F&B terbesar di Malaysia.
Platform Jalin Kerjasama, Perkasa Ekosistem F&B
Sebagai entiti yang memainkan peranan penting dalam memperkasa PKS Bumiputera, penyertaan platform KL Marketplace menerusi KLMCC dalam FDM 2025 dilihat selari dengan misinya membangunkan ekosistem perniagaan yang mampan, inklusif dan berdaya saing.
Produk yang turut dipamerakan pada kali ini termasuk:
– Sambal Tempoyak Udang Petai (Imam Hussein)
– Magna 1 Coffee (Nubayu)
– Chili Garlic Oil (GARAMLADA)
– Madu Kelulut Premium (MADUKU)
– Pineapple Energy Bar (Amanis)
– Soursop Colagen (Fruvion)
Kehadiran KLMCC juga bertujuan membuka lebih banyak ruang kepada usahawan PKS tempatan untuk menjalin kerjasama global, mempamerkan inovasi, dan meneroka peluang eksport yang lebih luas.
Antara tumpuan utama sepanjang FDM 2025 ialah:
- Forum Halal & Teknologi Makanan
- Pameran produk inovatif dalam segmen makanan dan minuman
- Sesi padanan perniagaan bersama pembeli antarabangsa
- Perkongsian peluang perluasan pasaran eksport
Komitmen Jangka Panjang untuk Usahawan PKS
KLMCC menyatakan komitmennya untuk terus menyokong penganjuran acara berskala besar seperti ini, yang berpotensi menjadi pemangkin pertumbuhan kepada pemain industri F&B tempatan. Dalam kenyataannya, KLMCC mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur serta semua peserta atas kejayaan penganjuran FDM 2025 yang bukan sahaja mempamerkan inovasi, tetapi juga merapatkan jurang antara pemain industri tempatan dan pasaran antarabangsa.
NH Online menyokong sebarang inisiatif yang mengangkat keupayaan PKS tempatan dan memperkukuh jaringan perniagaan Malaysia di peringkat global.
