Umum

Kompleks Gua Taman Negara Niah diiktiraf Tapak Warisan Dunia

Gambar Niah National Park

Kompleks Gua Taman Negara Niah di Sarawak diiktiraf Tapak Warisan Arkeologi Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco).

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) dalam kenyataan memaklumkan pengiktirafan itu diumumkan 7 malam waktu tempatan dalam sesi mesyuarat Jawatankuasa Warisan Dunia ke-46 di New Delhi, India dari 21 hingga 31 Julai ini.

Menurutnya, pengiktirafan berprestij itu diputuskan 21 ahli negara anggota Jawatankuasa Warisan Dunia yang dipengerusikan wakil dari India.

Usaha pencalonan Tapak Warisan Arkeologi Kompleks Gua Taman Negara Niah ini bermula sejak 2019 dengan dokumen senarai tentatif dihantar kepada pihak Unesco pada 22 Jan 2021 dan pada 31 Jan 2023, dokumen pencalonan dikemukakan secara serahan tangan kepada pihak Sekretariat Unesco di Paris, Perancis.

Pengiktirafan itu menyaksikan Malaysia secara keseluruhannya menyenaraikan lima Tapak Warisan Dunia Unesco, iaitu Taman Negara Gunung Mulu dan Taman Kinabalu pada 2000, Melaka dan George Town sebagai Bandar Bersejarah Selat Melaka (2008) serta Warisan Arkeologi Lembah Lenggong (2012).

Menurut Motac, penyenaraian di bawah Senarai Warisan Dunia Unesco dikejar seluruh negara kerana ia pengiktirafan tertinggi di peringkat dunia bagi tapak warisan.

“Selain mempromosi dan mengetengahkan tapak warisan negara di peringkat global, pengiktirafan ini turut menunjukkan komitmen Malaysia dalam melindungi tapak warisan tempatan.

Secara tidak langsung, pengiktirafan ini juga akan meningkatkan keterlihatan Malaysia di mata dunia, sekali gus akan menjadikan Malaysia destinasi pilihan pelancong.

Motac mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak atas sokongan dan kerjasama oleh pelbagai agensi kerajaan persekutuan serta kerajaan Sarawak dalam memastikan usaha pencalonan berjalan lancar.

Sehingga kini, sejumlah 1,199 kawasan dari seluruh dunia diiktiraf Tapak Warisan Dunia di bawah Konvensyen Perlindungan Warisan Budaya dan Semula Jadi Dunia 1972.

Malaysia kini berusaha mencalonkan beberapa lagi kawasan sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco, iaitu FRIM Forest Park Selangor, Taman Negeri Royal Belum dan Pusat Kawalan Kusta Negara.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Len Talif Salleh, berkata pengiktirafan Unesco menekankan kepentingan global Taman Negara Niah sebagai tapak nilai sejagat menakjubkan.

Ia bukti komitmen kami untuk memelihara dan melindungi warisan semula jadi serta budaya kita untuk generasi akan datang, katanya dalam kenyataan.

Inskripsi Taman Negara Niah dalam Senarai Warisan Dunia adalah kemuncak usaha berdedikasi bertahun-tahun pelbagai pihak berkepentingan, termasuk Perbadanan Perhutanan Sarawak, komuniti tempatan, penyokong pemuliharaan dan kerajaan Malaysia.

Pengiktirafan berprestij ini dijangka meningkatkan usaha pemuliharaan, menggalakkan pelancongan mampan dan memupuk kerjasama antarabangsa lebih besar dalam memelihara warisan tidak ternilai di taman itu.

 

 

PALING POPULAR

To Top