Umum

KPM beri sekolah autonomi untuk Ujian Akhir Sesi Akademik

Kementerian Pendidikan (KPM) memberikan autonomi kepada guru dan sekolah dalam pelaksanaan ujian akhir sesi akademik (UASA) bagi sesi 2024/2025 sebagai langkah penambahbaikan dan pemerkasaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Menurut Timbalan Menteri Wong Kah Woh, penambahbaikan ini juga melibatkan perubahan dalam bentuk pelaporan daripada penguasaan Pentaksiran Berterusan kepada format peratusan dan gred.

Beloau berkata ujian akhir sesi akademik ini bukanlah ujian yang menggantikan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Tingkatan Tiga (PT3) kerana ia bukan peperiksaan pusat. Ujian ini bersifat ‘low stakes’ dan bertujuan untuk mengurangkan tekanan peperiksaan terhadap murid, katanya.

Beliau menegaskan ujian ini tidak bertujuan untuk membandingkan prestasi atau pencapaian antara murid, sekolah, daerah, atau negeri, tetapi lebih kepada membantu murid dalam membangunkan dan memperkembangkan potensi sebagai persiapan menghadapi fasa pembelajaran seterusnya.

Beliau berkata demikian dalam sesi kamar khas Dewan Rakyat, menjawab usul yang dikemukakan oleh Shahidan Kassim (PN-Arau) yang mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan untuk mengembalikan semula sistem peperiksaan UPSR dan PT3.

Wong berkata melalui PBS, guru dan murid dapat mengenal pasti kelemahan serta cabaran dalam pembelajaran yang membolehkan pelaksanaan program intervensi pemulihan.

Pendekatan itu juga mengiktiraf kepelbagaian potensi, bakat, dan kemampuan setiap murid.

Beliau berkata pelaksanaan PBS selaras ‘Education 2030 Incheon Declaration and Framework for Action’ yang dibentangkan di Forum Pendidikan Dunia di Korea Selatan pada 21 Mei 2015.

Deklarasi Incheon itu menggariskan pentaksiran pendidikan berkualiti melalui pentaksiran berterusan berasaskan bilik darjah, serta pentaksiran komprehensif yang merangkumi aspek kognitif dan bukan kognitif.

 

 

PALING POPULAR

To Top