Umum

Krisis di Iran Memuncak: Rakyat Malaysia Diseru Tinggalkan Iran Segera

Susulan situasi keselamatan yang semakin tegang di Iran berikutan tindakan agresif Israel, Kementerian Luar Negeri Malaysia menyeru semua rakyat negara ini yang berada di Iran supaya meninggalkan negara itu dengan serta-merta.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, kementerian memaklumkan bahawa keadaan keselamatan di Iran kekal tidak menentu dan berisiko merosot tanpa sebarang amaran awal.

“Berikutan keadaan yang semakin meruncing, semua rakyat Malaysia di Iran digesa supaya meninggalkan negara itu segera menggunakan apa jua kaedah yang tersedia,” jelas kenyataan itu.

Kementerian turut mengesahkan bahawa semua rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Tehran berada dalam keadaan selamat. Mereka telah diberi nasihat dan panduan untuk keluar dari negara itu tanpa sebarang kelewatan.

Kedutaan juga akan terus memberikan bantuan konsular yang diperlukan bagi memudahkan proses pemindahan.

“Keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia adalah keutamaan kami,” tambah kenyataan itu.

Saluran Bantuan untuk Rakyat Malaysia di Iran

Untuk sebarang kecemasan, rakyat Malaysia di Iran boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Tehran di alamat berikut:

Alamat: No. 25, 2nd Alley, North Zarafshan St., Shahrak-e-Gharb

Telefon: +98 21 8807 2444 / +98 21 8807 8606 / +98 933 535 2602

Emel: [email protected] / [email protected]

Kementerian Luar juga telah mengaktifkan Bilik Gerakan bermula 17 Jun untuk ahli keluarga di Malaysia yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai saudara-mara mereka di Iran:

Telefon: +603 8887 4570

Emel: [email protected]

 

Latar Belakang Krisis

Ketegangan antara Iran dan Israel dilaporkan memuncak sejak Jumaat lalu selepas Israel melancarkan serangan udara tanpa provokasi ke atas wilayah Iran. Serangan tersebut dikatakan telah mengorbankan beberapa pegawai kanan tentera dan saintis Iran.

Sebagai tindak balas, Iran melancarkan peluru berpandu balistik ke beberapa lokasi di Israel, yang turut menyebabkan kematian dan kecederaan.

 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top