Kuala Lumpur kini secara rasmi diiktiraf oleh UNESCO sebagai City of Design, satu pengiktirafan antarabangsa terhadap komitmen bandar raya ini dalam memajukan kreativiti, inovasi dan reka bentuk sebagai pemacu pembangunan lestari.
Pengiktirafan ini sejajar dengan aspirasi global untuk menjadikan kreativiti sebagai asas kepada pembangunan bandar yang mampan, sekaligus mengukuhkan kedudukan Kuala Lumpur sebagai hab kreatif serantau.
Menurut kenyataan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kejayaan ini adalah hasil usaha bersama antara kerajaan, komuniti kreatif, institusi akademik dan industri reka bentuk, dengan kerjasama strategik Think City. Lebih dua ratus individu terlibat dalam proses libat urus selama dua tahun bagi menyiapkan dokumen dossier Kuala Lumpur yang dihantar kepada UNESCO pada Mac 2025.
Dokumen tersebut menonjolkan identiti unik Kuala Lumpur melalui inisiatif pemuliharaan warisan, pembangunan ruang awam, penubuhan institusi reka bentuk serta penganjuran acara-acara kreatif yang mencerminkan kepelbagaian budaya bandar raya ini.
Sebagai City of Design, Kuala Lumpur dijangka menarik lebih banyak pelaburan dan bakat dalam sektor reka bentuk dan ekonomi kreatif, di samping memperkukuh dasar perancangan bandar berasaskan reka bentuk dan kesejahteraan komuniti.
DBKL turut menegaskan bahawa reka bentuk akan dijadikan pemangkin utama dalam pelbagai sektor termasuk perancangan, pembangunan, kebudayaan dan komuniti bagi membentuk bandar yang lebih mampan, inovatif dan berdaya huni.
Dengan pengiktirafan ini, Kuala Lumpur menyertai rangkaian bandar UNESCO lain di Malaysia seperti George Town dan Melaka (Tapak Warisan Dunia), Ipoh dan Kuching (Bandar Kreatif), Langkawi (Geopark Global) serta Banjaran Crocker (Rizab Biosfera) — menggambarkan komitmen negara terhadap warisan, inovasi dan kelestarian.
DBKL turut mengalu-alukan kerjasama semua pihak termasuk komuniti kreatif dan industri reka bentuk untuk bersama-sama memperkukuh identiti Kuala Lumpur sebagai bandar inklusif, berdaya saing dan digerakkan oleh reka bentuk.
