Umum

Laluan Hormuz Terancam, Ekonomi & Kapal Malaysia Terjejas

Konflik Iran–AS: Laluan Hormuz Terancam, Ekonomi & Kapal Malaysia Terjejas

PETALING JAYA: Ketegangan memuncak di Timur Tengah susulan serangan melibatkan Amerika Syarikat (AS)-Israel dan Iran kini mula memberi kesan langsung kepada ekonomi global, termasuk Malaysia.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Johari Abdul Ghani, berkata gangguan terhadap laluan perdagangan sudah berlaku dan impaknya dijangka berterusan sekiranya konflik berpanjangan.

“Bila kapal nak masuk (pelabuhan) tak boleh. Semalam misalnya, berapa banyak penerbangan perlu berpatah balik dan ada tidak boleh diteruskan. Ini antara gangguan kepada ekonomi negara dan dunia,” katanya.

Beliau berkata kementeriannya kini menilai implikasi terhadap perdagangan antarabangsa serta kemungkinan kesan kepada pelaburan asing sekiranya ketegangan terus meningkat.

Laluan Minyak Paling Penting Dunia

Tumpuan utama dunia kini terarah kepada Selat Hormuz, laluan strategik yang menghubungkan pengeluar minyak utama Teluk seperti Arab Saudi, Iran, Iraq dan Emiriah Arab Bersatu ke pasaran global.

Selat itu dianggap sebagai “chokepoint” minyak paling penting dunia kerana sebahagian besar eksport minyak global melalui perairan sempit berkenaan.

Laporan antarabangsa menyebut Pengawal Revolusi Iran menghantar transmisi menyatakan tiada kapal dibenarkan melepasi selat tersebut, sekali gus meningkatkan kebimbangan gangguan bekalan tenaga global.

Sekiranya laluan itu terjejas sepenuhnya, penganalisis memberi amaran harga minyak dunia boleh melonjak, sekali gus memberi tekanan inflasi kepada banyak negara pengimport termasuk Malaysia.

Kapal Malaysia Dinasihat Elak Hormuz

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Laut Malaysia (JLM) menasihatkan semua kapal berdaftar Malaysia serta syarikat perkapalan tempatan supaya mengelak berlayar melalui Selat Hormuz sehingga notis lanjut.

Menurut JLM, langkah itu penting bagi memastikan keselamatan kapal, anak kapal dan kargo susulan peningkatan risiko keselamatan di rantau berkenaan.

Pengendali kapal turut digesa menilai dan merancang semula laluan pelayaran serta sentiasa memantau nasihat keselamatan maritim daripada pihak berkuasa antarabangsa.

Apa Maknanya Kepada Malaysia?

  • Kos logistik meningkat
  • Gangguan rantaian bekalan
  • Tekanan terhadap harga bahan api
  • Risiko kepada pelaburan asing

Malaysia sebagai negara perdagangan terbuka sangat bergantung kepada kelancaran laluan perkapalan global. Sebarang gangguan di Timur Tengah boleh memberi kesan limpahan kepada sektor eksport, import dan kos operasi industri tempatan.

Buat masa ini, kerajaan memantau perkembangan rapat situasi berkenaan sambil menilai langkah mitigasi sekiranya krisis berlanjutan.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top