Tindakan melantik kleptokrat dan individu yang berdepan tuduhan mahkamah memegang jawatan utama dalam kerajaan menjejaskan keyakinan pelabur asing, kata bekas menteri kanan perdagangan antarabangsa dan industri, Mohamed Azmin Ali.
Beliau mempersoalkan, bagaimana kerajaan ingin meyakinkan pelabur datang dan melabur ke Malaysia memandangkan pelantikan dalam kalangan pentadbiran dilihat sebagai meragukan.
“Pelabur asing sedang memerhati. Apabila mereka mengangkat kleptokrat, pemimpin korup, memegang jawatan utama dalam kerajaan, bagaimana anda yakinkan mereka (pelabur) datang dan melabur di Malaysia?” kata Azmin ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perikatan Nasional (PN) di Shah Alam malam tadi.
“Maknanya keyakinan pelabur asing itu sudah terhakis.”
Perdana Menteri Anwar Ibrahim membuat kejutan melantik Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri dan menteri pembangunan desa dan wilayah meskipun berdepan dengan pelbagai tuduhan rasuah di mahkamah.
Ini dilakukan walaupun Zahid sendiri menjadi modal kempen Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk menyerang Barisan Nasional (BN).
Baru-baru ini, jumlah perdagangan negara pada April 2023 mencatatkan penurunan 14.5% kepada RM198 bilion, eksport merosot 17.4% kepada RM105.42 bilion, manakala import menyusut 11.1% kepada RM92.58 bilion.
Jika dibandingkan pada bulan sebelumnya, jumlah perdagangan merekodkan penurunan 14.9%, eksport susut 18.7%, import berkurang 10.1% manakala lebihan dagangan menyusut 51.9%.
Mengulas mengenai kerjasama PN dan Barisan Nasional (BN) ketika era pentadbiran Muhyiddin Yassin, Azmin menegaskan individu yang berdepan tuduhan mahkamah tidak dilantik memegang jawatan utama.
Justeru, beliau yang juga pengerusi PN Selangor mempersoalkan mengapa DAP berdiam diri dan membiarkan perkara ini berlaku.
“Kamu (DAP) cakap tentang tadbir urus, kamu cakap tentang rasuah tetapi kamu benarkan perdana menteri ada kawan baru. Ini salah.
“Ini pun sedang diperhatikan pelabur asing dan ini sebabkan prestasi perdagangan, pelaburan terkesan dan saya percaya jika PN diberi peluang, kita dapat kembali untuk pulihkan keyakinan pelabur asing,” tambah beliau.
Sumber: Malaysianow