Lebih 32% rakyat dewasa Malaysia berdepan masalah berat badan berlebihan, manakala hampir 22% lagi tergolong dalam kategori obesiti, menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad, berkata angka ini menunjukkan lebih separuh populasi dewasa di Malaysia kini berada dalam kategori berat badan berlebihan atau obes.
“Sebanyak 32.6% atau 6.86 juta rakyat dewasa mengalami masalah berat badan berlebihan. Sementara itu, 21.8% atau 4.58 juta lagi dikategorikan sebagai obes,” katanya pada Majlis Pelancaran Roczen Universal di Gombak.
Diabetes & Hipertensi Turut Tinggi
Selain isu berat badan, tinjauan mendapati:
- 15.6% (3.55 juta) rakyat Malaysia menghidap diabetes.
- 29.2% (6.65 juta) pula mengalami hipertensi.
Negeri Perak mencatatkan kadar prevalens diabetes (21.7%) dan hipertensi (40.2%) tertinggi, diikuti Pahang (21.5% diabetes) dan Sarawak (39.9% hipertensi).
Kuala Lumpur Tertinggi Berat Badan Berlebihan
Berdasarkan pecahan negeri, Kuala Lumpur mendahului dengan 40.6% rakyat dewasanya mengalami berat badan berlebihan, diikuti Putrajaya (35.5%) dan Labuan (34.8%).
Namun, Perlis merekodkan kadar obesiti tertinggi dengan 32.8% rakyat dewasa.
Usaha Kerajaan Menangani NCD
Dzulkefly berkata, kerajaan kini memperkukuh kerjasama antara agensi serta merangka inisiatif baharu dalam Belanjawan akan datang bagi mengawal peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti obesiti, diabetes dan hipertensi.
“Masalah obesiti dan diabetes bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan rakyat, malah turut membebankan sistem penjagaan kesihatan negara,” jelasnya.
