Resorts World Genting (RWG) bakal menyajikan sebuah malam penuh nostalgia dan magis apabila ikon muzik dunia, Richard Marx, mengadakan konsert eksklusif sempena sambutan ulang tahun ke-60 RWG. Persembahan istimewa ini dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 16 Ogos 2025, jam 9 malam di Arena of Stars.
Nama Richard Marx bukan asing bagi peminat muzik antarabangsa, apatah lagi dengan rekod lebih 30 juta album terjual dan deretan lagu hit yang masih kekal relevan hingga ke hari ini. Lagu-lagu malar segar seperti Right Here Waiting, Endless Summer Nights, dan Now and Forever telah menjadikan beliau antara figura paling berpengaruh dalam dunia muzik sejak 35 tahun lalu.
Sebuah Malam, Sejuta Kenangan
Lebih daripada sekadar konsert, malam ini dijanjikan sebagai pengembaraan muzik rentas dekad, menyatukan irama yang menyentuh kalbu dengan memori indah yang tidak lapuk dek zaman. Sama ada peminat lama yang membesar dengan muzik beliau, mahupun generasi baharu yang baru ingin mengenali kehebatan vokal dan penulisannya, konsert ini menjanjikan pengalaman luar biasa yang sukar dilupakan.
Sebagai acara kemuncak sambutan Jubli Intan RWG, konsert Richard Marx turut menjadi simbol penghargaan kepada pengunjung setia yang telah mencipta jutaan memori bersama RWG sejak penubuhannya. Persembahan ini dijangka menyatukan elemen nostalgia, warisan muzik dan prestij yang telah lama menjadi jenama Resorts World Genting.
Tiket & Jualan Awal
Tiket untuk konsert ini ditawarkan dalam beberapa kategori harga:
-
RM1,188 (VIP)
-
RM888 (PS1)
-
RM768 (PS2)
-
RM588 (PS3)
-
RM368 (PS4)
Pra-jualan tiket akan bermula pada 4 Jun 2025, jam 12 tengah hari, khusus untuk ahli Genting Rewards (peringkat Gold ke atas) serta pemegang kad VISA. Jualan umum pula akan dibuka pada 9 Jun 2025. Sepanjang tempoh pra-jualan, ahli GRC layak menikmati diskaun 15% bagi kategori VIP hingga PS3. (Nota: Hanya satu diskaun boleh digunakan bagi setiap transaksi.)
Buat para peminat yang ingin kembali menyusuri lorong-lorong kenangan bersama irama klasik, atau mereka yang ingin menyaksikan sendiri kehebatan lagenda muzik secara langsung, konsert ini sememangnya acara wajib hadir tahun ini.
Untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket, sila layari rwgenting.com.
