Umum

Lelaki kudung ‘jalan kaki dari Bidor’ selamat tiba di Makkah

Seorang lelaki, Herry Nizam Saleh, 42, yang kudung tangan kiri dan melakukan perjalanan dengan berjalan kaki dari Bidor, Perak ke Makkah telah selamat berada di Tanah Suci itu.

Menurutnya, di tengah perjalanan terdapat individu yang membelikannya tiket penerbangan ke Jeddah, lapor Sinar Harian.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan berapa negara yang dilaluinya dengan berjalan kaki sejak memulakan perjalanan hujung bulan lepas, sebelum menerima bantuan berkenaan.

Menerusi video di akaun TikToknya, @herrynizam menjelaskan, niat untuk berjalan kaki dipermudahkan apabila terdapat individu yang membelikan tiket penerbangan ke Jeddah.

“Assalamualaikum semua, saya sekarang ini dekat Dubai dan ya niat untuk jalan kaki tapi orang ‘sponsor’ (taja) tiket sampai ke Jeddah. Jadi saya kena terima, ini semuanya datang dari Allah bukan kehendak saya,” ujarnya di aplikasi TikTok.

Menerusi video yang dimuat naik, lelaki yang kudung tangan kiri itu memulakan perjalanan dengan menggalas sebuah beg bersama sehelai Jalur Gemilang dan dia memaklumkan akan merentas 12 negara bermula dengan Thailand ke Arab Saudi.

Dalam pada itu, pemilik akaun TikTok @JalilRazak, yang juga salah seorang jemaah dari Malaysia dan kini sedang melakukan ibadah umrah memaklumkan telah bertemu Herrynizam berhampiran kawasan Kaabah.

“Untuk pengetahuan, abang yang jalan kaki dari Malaysia ke Makkah dah sampai dah.

“Video ini aku ambil betul-betul depan Kaabah dan harap percayakan aku. INSHA-ALLAH aku jaga abang ini sebaik mungkin,” katanya.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top