Umum

Lelaki Putus Kaki Akibat Letupan Bunga Api di Segamat

Johor – Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an mengalami kecederaan parah apabila kaki kirinya putus akibat letupan bunga api dalam satu kejadian di Taman Damai Jaya, Bukit Siput, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Jumazanzahir Chek Ismail berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam ketika mangsa dipercayai sedang bermain bunga api di hadapan rumah sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Menurut beliau, mangsa mengalami kecederaan serius sebelum dikejarkan ke zon merah Hospital Segamat untuk rawatan lanjut.

Pegawai perubatan yang bertugas mengesahkan mangsa mengalami kecederaan putus kaki kiri di bawah paras lutut, namun keadaannya kini dilaporkan stabil.

Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai menggunakan bunga api jenis ‘shoot cake 4 (D) 16 shot’ ketika kejadian berlaku. Kes kini disiasat mengikut Seksyen 6 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan.

Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya hanya menggunakan bunga api yang dibenarkan oleh pihak berkuasa serta memastikan aktiviti tersebut dilakukan di kawasan lapang dan selamat.

Orang ramai juga diingatkan agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan, khususnya ketika musim perayaan, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini yang boleh mengancam nyawa dan keselamatan diri.

 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top