Umum

Lelaki usia 25 maut terkena pemotong besi di stor rumah

Gambar PDRM

Seorang lelaki berusia 25 tahun maut kecederaan di leher akibat terkena mesin pemotong besi di stor rumahnya di Kampung Pida Lama, Kubang Pasu semalam.

Mangsa, Muhammad Hafizad Ibrahim, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialami.

Menurut Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Rodzi Abu Hassan, kaunter Balai Polis Kodiang menerima panggilan daripada seorang pengadu pada jam 5.30 petang berhubung kematian lelaki berkenaan di lokasi kejadian.

“Hasil siasatan mendapati, mangsa ditemui dalam keadaan berlunjur dan di atas lantai berdekatan dengan mata pemotong mesin elektrik.

“Mangsa yang masih bujang adalah anak keempat daripada enam beradik dan mempunyai kelulusan daripada Kolej Matrikulasi Tambun Tulang di Perlis.

Ketika kejadian, mangsa berada di rumah bersama dua orang adiknya, ternampak abangnya terbaring dengan luka di leher berdekatan dengan mesin pemotong besi dan tidak sedarkan diri sewaktu pergi ke stor untuk mengambil barang,” katanya menurut laporan di Astro Awani hari ini.

Rodzi berkata, adik bongsu mangsa kemudian terus memaklumkan kepada kakaknya berhubung kejadian itu dan mendakwa sebelum kejadian tidak nampak orang luar datang ke rumah.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan bapa mangsa, anaknya dipercayai mengalami demam sejak empat hari lalu dan belum pulih sepenuhnya.

“⁠Pegawai dan anggota Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah hadir ke tempat kejadian dan hasil pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah ditemui dan hanya terdapat kecederaan di bahagian leher dipercayai akibat terkena bilah pemotong besi mesin elektrik.

⁠”Pemeriksaan lanjut pada mayat juga dapati tiada tanda-tanda pergelutan, tiada tanda kemalangan atau mangsa cuba membunuh diri.

“Pemeriksaan lanjut di tempat kejadian juga tidak menemui sebarang objek yang mencurigakan,” katanya.

Rodzi berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

 

 

Sumber Awani

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top