Inisiatif Getah Asli Mampan Malaysia (MSNR) telah dilancarkan oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) dengan tujuan memastikan industri getah negara dapat memenuhi keperluan antarabangsa selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2030.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani, menyempurnakan pelancaran MSNR itu dengan kehadiran Timbalan Menteri Datuk Chan Foong Hin, Pengerusi LGM Datuk Zurinah Pawanteh dan Ketua Pengarah LGM Datuk Dr Zairossani Mohd Nor.
Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, “MSNR merupakan pengiktirafan secara kawal selia dan penguatkuasaan yang diberikan kepada pemegang lesen dan permit LGM untuk memastikan getah yang dihasilkan dapat memasuki pasaran dunia sebagai produk mampan yang berdaya saing. Inisiatif itu penting bagi memperkasakan semula industri getah negara sekali gus mengurangkan import getah yang mencecah hampir RM6 bilion.”
Bagi meningkatkan hasil getah asli negara, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan mengenal pasti kawasan tanaman getah yang tidak ditoreh bagi memastikan dapat diusahakan semula.
“Mengikut laporan Lembaga Getah Malaysia (LGM), terdapat 420,000 hektar kawasan tanaman getah yang sudah matang namun tidak ditoreh. Isu tidak ditoreh ini mungkin disebabkan pemilik ladang sudah tak larat nak menoreh. Kita akan berusaha mencari tuan tanah dan berbincang untuk mencari jalan bagaimana kita boleh usahakan semula ladang ini,” kata Datuk Seri Johari.
Daripada 1.1 juta hektar keluasan tanaman getah di negara ini, katanya.
Sebanyak 93 peratus daripada 1.1 juta hektar keluasan tanaman getah di negara ini terdiri daripada pekebun kecil, manakala tujuh peratus adalah estet. Kira-kira 217,000 pekebun kecil terlibat dalam pengeluaran getah asli negara.