Umum

Lotus’s Malaysia ambil alih Village Grocer dan empat jenama lain bernilai RM1.66 bilion

Lotus’s Malaysia bakal mengembangkan jejak runcitnya di Malaysia selepas memeterai perjanjian untuk mengambil alih 100% pegangan dalam The Food Purveyor Sdn Bhd, pengendali rangkaian pasar raya premium termasuk Village Grocer, dalam transaksi bernilai kira-kira RM1.66 bilion.

Perjanjian itu diumumkan oleh syarikat induk Lotus’s, CP Axtra Public Company Limited, yang menyatakan langkah berkenaan sebagai sebahagian daripada strategi memperluas pelaburan di pasaran luar negara yang mempunyai potensi pertumbuhan tinggi.

Selain Village Grocer, The Food Purveyor turut mengendalikan beberapa jenama pasar raya premium lain iaitu Ben’s Independent Grocer (B.I.G.), BSC Fine Foods, The Food Merchant dan OTK.

Secara keseluruhan, The Food Purveyor mengendalikan kira-kira 50 cawangan di seluruh Malaysia di bawah lima jenama tersebut.

Dengan pengambilalihan itu, rangkaian operasi Lotus’s di Malaysia dijangka berkembang dengan ketara. Ketika ini, Lotus’s mempunyai sekitar 70 cawangan di seluruh negara. Digabungkan dengan rangkaian The Food Purveyor, kumpulan berkenaan bakal mengendalikan lebih 120 cawangan pasar raya dan pasar raya besar di Malaysia.

Menurut kenyataan syarikat, Lotus’s mempunyai kepakaran dalam pengurusan operasi runcit serta rangkaian pasar raya dan hiperpasar, manakala The Food Purveyor pula terkenal dalam segmen runcit premium.

Langkah pengambilalihan ini juga menandakan kemasukan Lotus’s ke dalam segmen pelanggan premium melalui portfolio jenama yang dimiliki The Food Purveyor.

Bagaimanapun, transaksi tersebut masih tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan dan dijangka dimuktamadkan pada suku keempat 2026.

CP Axtra ketika ini mempunyai operasi di 11 negara, termasuk perniagaan pemborongan Makro dan runcit Lotus’s.

Lotus’s Malaysia mula membuka tiga cawangan pertamanya pada tahun 2021 di Kepong, Penang e-Gate dan Desa Tebrau, manakala The Food Purveyor pula ditubuhkan pada 2017 dengan sejarah perniagaan runcit yang bermula sejak 1997.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top