Malaysia Aviation Group (MAG), syarikat induk kepada Malaysia Airlines, terus menunjukkan pemulihan kukuh apabila mencatat keuntungan bagi tahun keempat berturut-turut.
Kumpulan itu merekodkan lonjakan keuntungan bersih lebih dua kali ganda kepada AS$137 juta pada 2025 berbanding AS$54 juta pada tahun sebelumnya.
Hasil turut meningkat 6% kepada RM14.5 bilion, manakala pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) melonjak kepada RM1.6 bilion daripada RM788 juta pada 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif, Nasaruddin Bakar, berkata prestasi tersebut didorong oleh pertumbuhan hasil yang stabil serta kawalan kos yang berdisiplin.
“Walaupun kapasiti meningkat dengan ketara, kos hanya naik sedikit, menunjukkan kami terus mengurus perbelanjaan secara proaktif,” katanya dalam taklimat prestasi kewangan 2025 hari ini.
Menurut beliau, penstrukturan semula kewangan yang dilaksanakan sebelum ini berjaya menstabilkan perniagaan dan menjadi asas kepada hala tuju masa depan kumpulan.
Dari segi operasi, prestasi ketepatan masa meningkat kepada 81%, manakala indeks kepuasan pelanggan turut naik kepada 84% berbanding 80% pada tahun sebelumnya.
Peningkatan ini disokong oleh penambahbaikan perkhidmatan serta pengenalan pesawat baharu, dengan MAG menerima 24 pesawat pada 2025 dan menjangkakan kira-kira 10 lagi penghantaran pada tahun ini.
Bagaimanapun, MAG mengakui cabaran masih wujud, khususnya kenaikan harga bahan api dan ketegangan geopolitik susulan konflik Timur Tengah, dengan kos bahan api merangkumi kira-kira 40% daripada keseluruhan kos operasi.
Kumpulan itu memaklumkan akan terus memantau keadaan pasaran dan menyesuaikan strategi bagi memastikan momentum pertumbuhan dapat dikekalkan.
