Umum

Mahkamah perintah lelaki bunuh ibu jalani rawatan psikiatri

Gambar Hiasan

Mahkamah Majistret memerintahkan lelaki yang didakwa membunuh ibunya dua minggu lalu, dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak untuk menjalani rawatan psikiatri selama sebulan.

Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya M Darrshini, agar tertuduh menjalani pemeriksaan mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.

Terdahulu, Soon Yong Aun, 40, yang tidak diwakili peguam, mengaku faham ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Lelaki itu didakwa membunuh ibunya yang berusia 67 tahun, Chua Ah Ting, di sebuah rumah di Taman Alor Vista pada lebih kurang jam 5.47 petang, 15 Jun lalu.

Kes dikemukakan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun, serta hukuman tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati.

Darrshini memohon kepada mahkamah supaya tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin, selain dirujuk ke Hospital Bahagia mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.

“Dalam siasatan pendakwaan, tertuduh mempunyai kad merah iaitu kad ubatan terkawal yang merujuk kepada sakit mental,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia untuk perhatian doktor selama sebulan dan kes ditangguh sehingga 24 Julai, untuk laporan perubatan.

Media sebelum ini melaporkan seorang wanita warga emas maut dipercayai dibunuh oleh anak bongsunya menggunakan gunting di sebuah pangsapuri di Relau, di sini dan suspek menghubungi abangnya sendiri untuk memaklumkan perbuatannya itu.

Polis yang menerima panggilan daripada abang suspek kemudiannya bergegas ke lokasi untuk siasatan, sebelum berjaya menahan lelaki berusia 40 tahun di lokasi kejadian.

 

 

PALING POPULAR

To Top