Mahkamah Persekutuan hari ini mengembalikan sabitan serta hukuman penjara dan denda terhadap bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad, berhubung kes rasuah melibatkan kira-kira RM3 juta berkaitan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak, 12 tahun lalu.
Keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Nordin Hassan, yang memutuskan bahawa Mahkamah Rayuan telah melakukan kesilapan boleh dirayu sehingga mewajarkan campur tangan mahkamah tertinggi negara.
Dua lagi hakim panel ialah Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Ruzima Ghazali.
Mahkamah Persekutuan sebulat suara membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini membebaskan Isa Samad daripada semua pertuduhan.
Untuk rekod, pada 2021, Mahkamah Tinggi mendapati Isa Samad bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah melibatkan jumlah RM3.09 juta. Beliau dijatuhi hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.4 juta.
Bagaimanapun, pada 2023, Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Vazeer Alam Mydin Meera (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) sebulat suara membenarkan rayuan Isa Samad, membatalkan sabitan dan hukuman tersebut sebelum pihak pendakwaan memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.
Berita lanjut menyusul.
