Baru-baru ini, majalah fesyen terkemuka, Vogue.com mengeluarkan artikel tentang pelakon Elfira Loy dan memuji gaya hijab serta citarasanya dalam berfesyen.
Bukan itu saja, Elfira juga disamakan dengan penyanyi popular Amerika Syarikat, Selena Gomez dari segi bijak dalam berfesyen serta persamaan mereka yang memulakan kerjaya seni di usia muda.
Penulis artikel terbabit, Janelle Okwodu menyifatkan gaya fesyen Elfira Loy mengikut aliran semasa dan pandai menyesuai padan gaya dan aksesori walaupun berhijab.
Vogue.com turut memuji beberapa gaya fesyen Elfira yang dimuat naik aktres itu di laman Instagramnya yang kini mempunyai 3.5 juta pengikut.
Antara lain, Vogue.com memuji gaya Elfira ketika mengikuti program kembara jenama produk kecantikan, Caudalie di Seoul.
Ketika itu, Elfira mengenakan gaun berona biru langit dengan sulaman bungaan dipadankan dengan kasut platform berona silver.
Portal fesyen itu juga memuji gaya aktres kecil molek itu ketika menghadiri Anugerah Stail EH!, Mei lalu di mana Elfira tampil dengan gaun black ruffled bertatahkan kilauan kristal rekaan Rizman Ruzaini.
Sumber: BH Online