Umum

Malaysia Dijangka Alami Fenomena La Niña Singkat Awal 2026 – MetMalaysia

Malaysia dijangka mengalami fenomena La Niña singkat pada awal tahun depan yang berpotensi mempengaruhi corak taburan hujan di negara ini, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Pusat Iklim Kebangsaan MetMalaysia memaklumkan, kebanyakan model iklim antarabangsa ketika ini menunjukkan keadaan El Niño Southern Oscillation (ENSO) yang neutral, dengan kebarangkalian 56% untuk kekal sehingga Oktober. Namun, ramalan menjangkakan berlakunya peralihan kepada La Niña singkat pada awal 2026 sebelum corak cuaca kembali stabil.

“Fenomena ini dijangka mempengaruhi taburan hujan di Asia Tenggara termasuk Malaysia,” kata MetMalaysia dalam kenyataan.

Musim Kering Akhir Monsun Barat Daya

Pada masa ini, Malaysia masih berada dalam fasa akhir Monsun Barat Daya yang dicirikan dengan kelembapan rendah, kurang pembentukan awan dan pengurangan hujan di kebanyakan negeri.

MetMalaysia turut memberi amaran mengenai risiko berlakunya jerebu setempat dan rentas sempadan sekiranya aktiviti pembakaran terbuka tidak dikawal.

Walaupun cuaca kering dijangka lebih dominan, risiko angin kencang dan ribut petir masih wujud, khususnya di Pantai Barat Semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah.

Fenomena ribut petir lazimnya berlaku pada awal pagi akibat pembentukan garisan ribut (squall lines) yang boleh berterusan selama beberapa jam. Analisis terkini turut menjangkakan angin barat kencang pada 22 hingga 25 September, sekali gus meningkatkan kebarangkalian hujan lebat dan angin kuat di utara Sarawak, barat Sabah serta Labuan.

Nasihat Kepada Orang Awam

MetMalaysia menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada, mematuhi amaran cuaca dan membuat persediaan menghadapi sebarang kemungkinan perubahan keadaan cuaca.

📌 Maklumat lanjut dan terkini boleh didapati di www.met.gov.my.

 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top