Umum

Malaysia dijangka hilang 16 pingat Sukan Komanwel 2026, Hannah Yeoh

Malaysia dijangka akan hilang 16 pingat susulan beberapa sukan prospek digugurkan pada Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Scotland dijadual berlangsung pada 23 Julai hingga 2 Ogos 2026.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, berkata Malaysia menghormati keputusan dibuat pihak penganjur dan yakin kontinjen negara masih mempunyai sukan lain yang boleh diberikan tumpuan bagi mengutip pingat pada temasya empat tahun sekali itu.

“Namun, kita masih ada sukan potensi pingat seperti angkat berat dan boling padang, kita ada kekuatan,” katanya menurut Bernama pada sidang media Majlis Perasmian Program ISNEXT 2024 di Institut Sukan Negara (ISN), Kuala Lumpur.

Semalam, Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) mengesahkan Glasgow sebagai tuan rumah dan menjadikan ia edisi kedua dianjurkan di Scotland, selepas 2014.

Berdasarkan CGF, 10 jenis sukan dipertandingkan pada edisi itu berbanding 19 jenis sukan pada Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, England.

Sukan dipertandingkan adalah olahraga dan olahraga para (trek dan padang), renang dan renang para, gimnastik artistik, berbasikal trek dan berbasikal trek para.

Selain itu, bola jaring, angkat berat dan powerlifting, tinju, judo, boling padang dan boling padang para, bola keranjang 3×3 dan bola keranjang berkerusi roda 3×3.

Antara sukan yang tidak dipertandingkan pada edisi 2026 termasuk terjun, memanah, badminton, kriket T20, hoki, mendayung, ragbi tujuh sepasukan dan skuasy.

Sementara itu mengenai Program ISNext 2024 anjuran ISN, Hannah berkata ia merupakan kerjasama strategik antara KBS, ISN dan beberapa universiti awam bagi menyediakan pusat penyediaan perkhidmatan, penyelidikan dan kepakaran di peringkat negeri dan wilayah.

“Sebagai contoh, bila adanya pusat satelit dengan kerjasama universiti di Sabah, atlet yang cedera boleh dapatkan perkhidmatan di lokasi berdekatan. Ia bukan saja untuk atlet negara tapi juga atlet negeri,” katanya.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top