Persekutuan Gusti Lengan Malaysia (MyArms) menyasarkan 10 pingat emas pada Kejohanan Gusti Lengan Dunia 2023 yang dijadual berlangsung di Pusat Pameran Pavilion Bukit Jalil di sini bermula Rabu hingga Sabtu ini.
Presidennya, Mohd Zil Fadli Abd Halim, berkata seramai 56 peserta termasuk bekas juara 2019, Joffey Jolly, dari Sabah akan menggalas cabaran negara dalam 30 kategori dipertandingkan.
Katanya, lebih 500 peserta dari 30 negara akan menyertai kejohanan itu.
Selain Joffey, katanya, skuad negara turut dibarisi naib juara dunia, Safuan Asif dan juara remaja Asia 2022, Iryan Syauqi Azhar.
“Walaupun cabaran sengit daripada pelbagai negara hebat tapi kita ada kelebihan beraksi di laman sendiri dan penyokong tempatan,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Presiden Persekutuan Gusti Lengan Antarabangsa, Anders Axklo, di sini, pada Isnin.
Zil berkata kejohanan tersebut akan dirasmikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, Khamis ini.
Sebelum ini, Malaysia menjadi tuan rumah kejohanan dunia itu pada 2015 di Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Zil berkata MyArms edang berusaha membuat permohonan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk memasukkan sukan gusti lengan sebagai acara sukan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak tahun depan.
“Kalau tak sempat tahun depan, kita akan berusaha pada temasya SUKMA seterusnya,” katanya.
Katanya, negara perlu memanfaatkan kelebihan peserta sukan gusti lengan negara yang mempunyai bakat besar dan mampu menyumbang pingat terbesar buat negara pada temasya antarabangsa.
— BERNAMA