Sports

Malaysia tuan rumah Sukan SEA 2027, Sarawak, Sabah, P Pinang setuju anjur bersama

Gambar Facebook

Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang memberi persetujuan menjadi hos bersama Kuala Lumpur bagi penganjuran Sukan SEA 2027.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, 3 negeri itu turut bersetuju mengeluarkan kos dengan jumlah keseluruhan penganjuran dianggarkan mencecah RM700 juta.

“Anggaran ini berdasarkan kos sewaktu kita anjurkan Sukan SEA 2017. Malah, kali ini juga kita terima peruntukan yang ia dibiayai kerajaan negeri, jadi kerajaan persekutuan tak tanggung banyak, sebab itu Kabinet setuju anjur Sukan SEA.

“Sarawak bersetuju menampung dalam 50% kos penganjuran, iaitu melebihi RM300 juta, Sabah RM100 juta dan Pulau Pinang RM15 juta”, kata Yeoh selepas sesi peka Tenaga Malaysia Energy Literacy Programme (MELP) bersama penggiat industri sukan di Majlis Sukan Negara di sini.

Terdahulu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memaklumkan Malaysia telah bersetuju menerima tawaran Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) untuk menjadi tuan rumah temasya Sukan SEA 2027.

Menurut kenyataan oleh KBS, keputusan itu dibuat Jemaah Menteri dalam mesyuarat dipengerusikan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim selepas mengambil kira komitmen penganjuran bersama oleh tiga negeri, iaitu Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang.

Beliau memaklumkan pihaknya turut menerima tawaran beberapa negeri lain menjadi penganjur bersama, tetapi terpaksa ditolak kerana mereka tidak bersetuju menanggung kos menganjurkan temasya sukan dwitahunan itu.

“Kita telah hantar surat kepada pimpinan negeri menjemput untuk jadi hos bersama. Selepas peringatan diberikan, hanya tiga negeri yang jawab bersama komitmen untuk menanggung kos,” ujarnya.

 

 

PALING POPULAR

To Top