Umum

Mat Sabu bimbang sektor pertanian akan dimonopoli warga asing

Gambar Hiasan

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu menyatakan kebimbangan sektor pertanian negara dimonopoli tenaga kerja asing. Ini dikatakan kerana terdapat rakyat tempatan yang menyewakan lesen perniagaan kepada warga asing sehingga menyebabkan monopoli golongan itu.

Menteri itu berkata, kegiatan demikian perlu dihentikan segera bagi memastikan sektor pertanian dikuasai pengusaha dan pekerja warga tempatan.

“Lesen Ali (Bumiputera), tetapi yang buat Baba (warga asing). Macam buat bendang, kita kena lihat dengan serius kenapa di Sekinchan, Selangor berjaya. Orang kita apabila buat kerja sendiri kadang-kadang tidak boleh (fokus), tetapi kalau kaum lain, apabila mereka buat kerja sendiri, mereka (fokus) betul sampai ke malam.

“Kita tak mahu (kisah) lama berulang, kalau 60-an, 70-an dan 80-an dan 90-an, Ali…Ali ini dalam kalangan Bumiputera yang memiliki lesen dan mendapat peluang (perniagaan), menjadi pengerusi dan sebagainya, tetapi yang menjalankan kerja Baba. Baba ini biasanya dari kalangan Tiong Hua.

Tahun 2000 ke atas Ali tidak berubah, tetap Ali yang mendapat peluang, mendapat lesen, menjadi pengerusi, tetapi yang menjalankan kerjanya Bangla (warga Bangladesh), katanya dilaporkan Harian Metro selepas Konvensyen Agro Madani 2024 di Universiti Putra Malaysia, Serdang.

Terdahulu, media telah melaporkan suatu pendedahan oleh Persekutuan Penanam Sayur-sayuran Malaysia menerusi pantauan dan risikan ahlinya seluruh negara yang menyatakan kegiatan itu mula aktif sejak lima tahun lalu.

Pengerusinya, Lim Ser Kwee, dilaporkan mendakwa warga Indonesia, Bangladesh dan etnik Rohingya kini membina rangkaian dari peringkat kebun sayur, pengedaran hinggalah jualan di lot niaga beberapa pasar borong utama di Semenanjung.

 

PALING POPULAR

To Top