Umum

Mayat Lelaki dan Wanita Ditemukan Mereput Dalam Rumah di Setia Alam

Polis mengesahkan penemuan mayat seorang lelaki dan seorang wanita yang ditemui dalam keadaan mereput di sebuah rumah di Seksyen U13, Setia Alam, malam tadi.

Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian tersebut dan tiada kecederaan dikesan pada tubuh kedua-dua mangsa.

Menurut beliau, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada ahli keluarga kepada mangsa wanita, yang memaklumkan penemuan mayat adiknya bersama seorang lelaki di rumah sewa berkenaan.

“Siasatan awal bersama pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor mendapati keadaan rumah tersebut bertutup, tiada kenderaan di lokasi kejadian dan pintu besi hadapan tidak berkunci.

“Kedua-dua mayat ditemui di dalam sebuah bilik di tingkat bawah dan berada dalam keadaan mereput. Keadaan dalam rumah juga didapati teratur tanpa sebarang tanda pencerobohan atau pergelutan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kedua-dua mayat telah dihantar ke Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

Tambahnya, kes kini disiasat sebagai kematian mengejut (Sudden Death Report, SDR) dan kertas siasatan akan diambil alih oleh Ketua Polis Balai Seksyen 6, Shah Alam.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Ketua Polis Balai Seksyen 6, Inspektor Izzman Mohd Idrus di talian 013-400 3355,” katanya.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top